ROMA: Penyerang veteran, Edin Dzeko menghidupkan semula kariernya di Serie A apabila sah menyertai Fiorentina secara perpindahan percuma dari kelab Turkiye, Fenerbahce.
Tonggak berusia 39 tahun itu menandatangani kontrak selama setahun dengan pilihan lanjutan automatik untuk musim kedua sekiranya memenuhi syarat tertentu.
Pengalaman luas Dzeko di Serie A bukan asing apabila pernah meledak gol bersama AS Roma selama enam musim sebelum menyarung jersi Inter Milan selama dua tahun.
Sepanjang kariernya di Inter, dia menjulang Piala Itali dua kali berturut-turut pada 2022 dan 2023 serta muncul watak penting dalam jentera serangan.
Musim lalu, Dzeko membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila meledak 21 gol dalam semua kejohanan bersama Fenerbahce kendalian Jose Mourinho.
Bekas penggempur Manchester City itu juga merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman skuad Bosnia & Herzegovina.
Fiorentina yang menamatkan saingan di tempat keenam Serie A musim lalu turut mengesahkan bakal melantik Stefano Pioli sebagai jurulatih baharu menggantikan Raffaele Palladino. – AGENSI