LONDON: Pemain tenis Serbia, Novak Djokovic menyifatkan Wimbledon sebagai kejohanan paling istimewa dalam sukan tenis selepas dia mara ke separuh akhir buat kali ke-14, satu rekod baharu di mana dia akan menentang bintang No. 1 dunia, Jannik Sinner, esok.
Djokovic sedang memburu kejuaraan Grand Slam ke-25 yang bersejarah, menerima penghormatan diraja daripada Ratu Camilla Britain sebelum menewaskan Flavio Cobolli 6-7 (6/8), 6-2, 7-5, 6-4 di Centre Court.
“Dan sudah tentu, ia amat bermakna bagi saya yang masih mampu bermain di peringkat akhir Wimbledon pada usia 38 tahun. Terima kasih kerana bersorak untuk usia saya. Saya sangat menghargainya. Ia sangat indah. Membuatkan saya rasa muda semula.
“Dan saya rasa satu lagi perkara yang membuat saya rasa muda ialah bersaing dengan pemain muda, seperti Cobolli hari ini (semalam) yang entah berapa tahun lebih muda daripada saya,” kata Djokovic.
Djokovic bertemu dengan Ratu Camilla, isteri kepada Raja Charles III sebelum perlawanan di mana baginda berkata baginda menyilang jari untuk kejayaan pemain berusia 38 tahun itu.
Djokovic kini memegang rekod sepanjang zaman untuk penampilan separuh akhir perseorangan lelaki Wimbledon terbanyak, melepasi juara lapan kali Roger Federer yang mara ke separuh akhir sebanyak 13 kali.
Dia juga telah mara ke separuh akhir Grand Slam buat kali ke-52 sekali gus memperkukuhkan lagi rekod sepanjang zaman dalam kategori lelaki.
Djokovic kini hanya memerlukan dua kemenangan untuk memecahkan rekod Margaret Court bagi gelaran perseorangan Grand Slam terbanyak bagi mana-mana pemain, lelaki atau wanita. – AFP