PETALING JAYA: Persekutuan Bola Baling Malaysia (MAHF) memohon agar Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak menghantar skuad bola baling ke Sukan SEA Thailand 2025.
Presidennya, Datuk Pandak Ahmad berkata, beliau percaya skuad bola baling negara berpotensi untuk membawa pulang pingat sekiranya MOM memberi peluang kepada mereka.
“Sebagai Presiden MAHF, saya minta agar keputusan itu dapat dipertimbangkan dan kalau boleh membenarkan skuad bola baling negara menyertai Sukan SEA 2025.
“Kita takut kalau Malaysia tak hantar wakil kemungkinan sukan bola boling pun tidak dipertandingkan di temasya itu nanti malah tuan rumah juga berharap kita menyertainya. Harap MOM boleh pertimbangkan dan beri peluang,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd. Nasir Ali mengesahkan Malaysia akan menyertai kesemua sukan yang dipertandingkan di Sukan SEA Thailand kecuali bola baling.
Terdahulu, MAHF dipalit kontroversi berikutan mempunyai hutang RM133,000 dengan badan induk tersebut malah bekas Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazifuddin Mohd Najib memberitahu mereka dibuang sebagai ahli gabungan MOM selepas gagal menyelesaikan hutang membabitkan perbelanjaan ke Sukan Asia 2018.
Mengulas lanjut, Pandak berkata, pihaknya sudah menghantar surat rayuan kepada MOM pada 2 Mac lalu bagi menyelesaikan hutang tersebut secara ansuran.
“Surat rayuan dan cara pembayaran sudah dihantar kepada MOM dan kami masih menunggu keputusan mereka. Kami minta bayar secara ansuran kerana kami tidak mempunyai kemampuan untuk membayarnya sekali gus,” katanya.-UTUSAN