Arensman ungguli peringkat ke-14

Arensman ungguli peringkat ke-14

THYMEN ARENSMAN-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGNERES-DE-LUCHON: Pelumba Belanda, Thymen Arensman mencipta detik manis dalam kariernya apabila muncul juara peringkat ke-14 perlumbaan berprestij Tour de France (TdF) 2025 menerusi tunggangan solo luar biasa dari Pau ke Superbagneres sejauh 183 kilometer.

Wakil pasukan Ineos Grenadiers itu mempamerkan aksi bertenaga apabila mula meninggalkan kelompok pendahulu di pendakian Col de Peyresourde (7.1km, cerun 7.8 peratus) sebelum terus meluncur laju mendaki laluan pergunungan Pyrenees biarpun tercetus insiden kekecohan membabitkan kereta pasukan yang melanggar seorang penonton di tepi jalan.

“Saya tidak percaya ini berlaku. Saya sakit selepas Giro, tetapi bersedia untuk Jelajah ini. Saya sabar menanti pendakian untuk mencuba nasib. Ini satu pencapaian luar biasa,” kata Arensman.

Insiden itu bagaimanapun tidak mengganggu fokus Arensman yang terus mengekalkan kayuhan konsisten hingga ke penamat di Superbagneres (12.4km, cerun 7.3 peratus), sekaligus menghadiahkan kemenangan solo bergaya buat pasukannya dan mengangkat nama Belanda di pentas tertinggi perlumbaan basikal dunia.

Di belakangnya, jaguh Slovenia, Tadej Pogacar terus memperkukuh cengkaman terhadap Jersi Kuning apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

Pelumba UAE Team Emirates itu memenangi pecutan akhir untuk menewaskan seteru utamanya, Jonas Vingegaard dari Denmark, walaupun kedua-duanya menamatkan perlumbaan 1 minit 12 saat di belakang Arensman.

Kemenangan itu turut membolehkan Pogacar menambah enam saat lagi ke atas Vingegaard dalam saingan keseluruhan, menjadikan jurang terkini antara dua pencabar utama itu kepada 4 minit 13 saat.

Vingegaard yang juga juara bertahan beberapa kali cuba merobohkan dominasi Pogacar dengan melancarkan serangan dalam pendakian ke Superbagneres, namun usaha tersebut dipatahkan dengan tenang oleh pelumba Slovenia itu yang kekal kukuh dan tidak goyah.

Akhirnya, Pogacar menyempurnakan perlumbaan dengan pecutan garisan penamat, sekaligus menegaskan cengkamannya selaku pelumba terunggul dalam edisi kali ini.

Namun tumpuan hari ini tetap milik Arensman yang membuktikan kemenangan bergaya yang pasti dikenang dan bukti bahawa Belanda masih punya taring dalam saingan peringkat tertinggi sukan berbasikal dunia.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN