LONDON: Juara bertahan Wimbledon, Carlos Alcaraz mencabar pelakon Hollywood yang menggalas watak Spiderman, Tom Holland untuk bertarung di padang golf selepas kemenangan bergaya ke atas Cameron Norrie, awal pagi tadi.
Pelawaan itu tercetus ketika bintang tenis Sepanyol itu bersembang dengan pelakon Spiderman berkenaan sejurus selesai sesi latihan sebelum aksi suku akhir.
“Tom, saya nampak awak main golf juga. Ayunan awak memang bagus, eh?” kata Alcaraz dalam perbualan santai yang sempat dirakam kamera.
Holland yang kini membintangi teater Romeo and Juliet di London pantas membalas: “Kita patut main sama. Saya bagi nombor telefon dan kita aturkan.”
Dengan tempoh dua hari rehat sebelum separuh akhir menentang Taylor Fritz, Alcaraz bersedia menyahut cabaran itu.
“Saya tengok dia main, saya rasa dia boleh kalahkan saya,” katanya.
Pemain No. 2 dunia itu pernah bermain golf bersama Andy Murray menjelang kejohanan dan menganggap padang golf sebagai tempat untuknya membuang tekanan ketika Grand Slam.
“Kalau dapat lawan Tom Holland di padang golf, itu satu penghormatan besar. Saya akan cuba aturkan dalam dua hari ini,” katanya lagi.
Alcaraz sedang memburu kejuaraan Wimbledon kali ketiga berturut-turut, dan kini sudah meraih lima gelaran Grand Slam ketika baru berusia 22 tahun. – AGENSI