PUTRAJAYA: Modul rawatan dan pencegahan dadah dibawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) akan dirombak pada tahun depan.
Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh berkata, langkah tersebut dilaksanakan selaras dengan evolusi penyalahgunaan dadah yang berkembang mengikut peredaran teknologi semasa.
Katanya, antara dijangka akan dirombak melibatkan modul yang dirangka lima tahun ke belakang.
“Ia bukan bermakna modul yang ada sebelum ini tidak baik, tetapi ia untuk memperkasa kaedah (rawatan dan pencegahan) berkenaan. Sebagai contoh dulu hanya ada dadah tradisional dan sekarang ada pula dadah jenis sintetik yang sukar dikesan.
“Justeru ia (rawatan dan pencegahan) perlu datang bersama dan kita tidak boleh berada dibelakang ‘dia'( dadah), ” katanya ketika ditemui pemberita dalam Program Menembak AADK sempena Peringatan Hari Anti Dadah 2025 hari ini.
Dalam pada itu, Ruslin berkata, AADK juga kini sedang mempergiat inisiatif ‘Kampung Bebas Dadah’ bagi mengurangkan kadar bilangan penagih di negara ini.
Menurutnya, AADK di setiap negeri akan menyenaraikan kampung yang mempunyai penagih dibawah inisiatif itu bagi melaksanakan program rawatan.
“Dalam aspek pencegahan dan rawatan, kita perlu ada sikap ‘jaga tepi kain orang’.Kalau tiada sikap sebegitu satu kampung boleh rosak. Jadi apa yang kita akan lakukan ialah sekiranya sesebuah kampung ada penagih dadah, maka ia akan disenaraikan.
“Malah, ia bukan bermakna kita menganiaya keluarga berkenaan sebaliknya kita hanya mahu bantu penagih yang masih belum mendapat rawatan, “katanya.
Ruslin dalam masa yang sama berkata, AADK juga akan terus memberi tumpuan kepada 155 Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) penagihan dadah.
Ruslin dalam perkembangan lain berkata, pihaknya telah merangka Pelan Komunikasi Anti Dadah yang bersifat menyeluruh dan bersasar. – UTUSAN