SHAH ALAM: Penarik motosikal lari hutang antara tiga pengguna lebuh raya dikesan positif dadah oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Petaling yang turut serta dalam operasi sekatan jalan raya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, di sini, malam tadi.
Lelaki warga tempatan itu didapati positif dadah jenis metamfetamin ketika diperiksa dalam operasi yang dijalankan di Plaza Tol Kota Kemuning, Lebuhraya Shah Alam (Kesas).
Dia yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 37, berkata dia sedang bekerja dan dalam perjalanan ke Batu Tiga untuk melakukan rutin pekerjaannya bagi mengenal pasti motosikal milik seseorang yang tidak melunaskan bayaran pinjaman kenderaan itu.
“Saya ambil dadah sebab tekanan kerja, mula-mula dua tahun lalu kawan yang ajak, kemudian. Tadi pun saya dalam perjalanan dari Klang ke Batu Tiga untuk tengok keadaan motosikal orang yang tak bayar hutang,” katanya ketika ditemui pemberita.
Dalam operasi berkenaan, lelaki itu ditahan oleh AADK dan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda maksimum RM5,000 serta diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun.
Selain penahanan tersebut, sebanyak 148 daripada 580 kenderaan yang diperiksa dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi (Op) Pengarah JPJ Selangor.
Kata Pengarahnya, Azrin Borhan, antara kesalahan yang paling tinggi dikesan pihaknya adalah tiada lesen memandu iaitu sebanyak 76 kompaun dikeluarkan, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (51 kompaun), tiada insurans kenderaan (49 kompaun), tiada Lesen Kenderaan Barangan (GDL) (lapan kompaun).
“Nombor pendaftaran (diubahsai) (lapan kompaun), tiada nombor pendaftaran depan dan belakang (tujuh kompaun), tiada cermin pembalik (lima kompaun) dan kesalahan teknikal lain 10 kompaun.
“Op kali ini kami menyita lapan buah motosikal dan empat buah kereta yang mana 13 Notis Arah Periksa dan lapan Notis Larangan Penggunaan Kenderaan PG3 juga dikeluarkan,” katanya.
Kesemua tindakan yang dikenakan itu dilakukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987. Seramai 60 pegawai dan anggota JPJ yang terlibat dalam operasi tersebut.
Katanya lagi, kebanyakan pengguna kenderaan yang tamat tempoh LKM memberikan alasan terlupa memperbaharui lesen itu kerana kesibukan kerja, sekaligus tidak mempunyai masa berbuat demikian.
“Antara yang dapat dikesan adalah sebuah motosikal yang tamat tempoh LKM sejak dua tahun lalu.
“Tidak ada pengguna yang melawan arus bagi mengelak sekatan jalan. Beberapa anggota ditempatkan di kawasan sekitar laluan untuk memastikan pengguna jalan raya tidak melawan arus bagi mengelak sekatan jalanraya,” ujarnya. – UTUSAN










