SEREMBAN: Sebanyak 305 kes penyakit berkaitan jerebu direkodkan di negeri ini dengan enam kes membabitkan penyakit asma yang memerlukan kemasukkan ke wad bagi rawatan lanjut.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, data yang diambil pada 21 Julai itu bagaimanapun menunjukkan tiada peningkatan ketara dalam trend penyakit yang dilaporkan.
Katanya, kerajaan negeri melalui lima fasiliti sentinel kesihatan di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan akan terus menjalankan pemantauan terhadap penyakit berkaitan jerebu di negeri ini.
“Bagaimanapun semalam hujan dan jerebu berkurangan. Namun, saya mohon orang ramai supay tidak melakukan sebarang pembakaran buat masa ini.
“Kurangkan aktiviti di luar serta minum air secukupnya. Segera dapatkan rawatan jika alami sesak nafaw, batuk, pedih mata atau sakit dada,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Sehingga pukul 4.30 petang tadi, semakan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati Indeks Pencemaran Udara (IPU di tiga lokasi di negeri ini merekodkan bacaan sederhana iaitu Port Dickson 95; Nilai (85) dan Seremban (80). – UTUSAN











