PETALING JAYA: Misi berat menanti pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli untuk mengekalkan kedudukan pendahulu menjelang pusingan ketiga pada Piala RedBull MotoGP Rookies di Litar Motorland Aragon, Sepanyol, hujung minggu ini.
Anak muda berusia 17 tahun itu kini mendahului carta selepas mengumpul 80 mata, meninggalkan pelumba Sepanyol, Benat Fernandez di tempat kedua dengan 57 mata, manakala, pencabar utamanya, Brian Uriarte juga dari Sepanyol berada di kedudukan ketiga setelah mengutip 50 mata.
Selepas dua pusingan yang melibatkan empat perlumbaan di Litar Jerez, Sepanyol dan Le Mans, Perancis, Hakim Danish kekal konsisten berada di kedudukan podium dengan kesemua saingan menyaksikan dia muncul selaku naib juara.
Ekoran keputusan itu, Hakim Danish mendapat jolokan ‘Mr. P2’, kerana dia masih belum berpeluang menamatkan perlumbaan di kedudukan sebagai juara, musim ini, walaupun mengungguli carta keseluruhan pelumba.
Justeru, kunjungan Hakim Danish ke Litar Motorland Aragon, hujung minggu ini, lebih membawa misi peribadi untuk terus kekal di kedudukan podium dan dalam masa sama muncul juara dalam perlumbaan 1 serta 2.
Hakim Danish berkata, masih banyak kelemahan yang perlu diperbaikinya terutama pada sesi kelayakan dalam perlumbaan di Jerez, hujung minggu lepas.
“Selepas tamat perlumbaan pusingan kedua Kejohanan Dunia FIM JuniorGP di Jerez, saya terus ke Barcelona untuk menjalani latihan dan membuat persiapan bagi menghadapi perlumbaan Red Bull MotoGP Rookies Cup minggu ini.
“Banyak perkara yang saya perlu perbaiki daripada perlumbaan minggu lepas, terutamanya di sesi kelayakan.
“Namun, saya berasa yakin untuk bersaing di Litar Aragon dan berharap agar semua peminat serta keluarga dapat mendoakan kejayaan saya,” katanya dalam satu kenyataan kepada media Malaysia di sini, semalam.
Litar Aragon meninggalkan satu kenangan sentimental buat Hakim Danish kerana di trek tersebut menyaksikan dia muncul juara dalam perlumbaan 2 pada Piala RedBull MotoGP Rookies Cup, musim lalu. – UTUSAN