Dalam keriuhan semua pihak untuk memperkasakan minat murid terhadap pembelajaran berasaskan Sains Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM), kita mungkin terlupa pandang kepada kepentingan dan fungsi makmal sains.
Banyak pihak mungkin sudah banyak membincang, mengulas dengan begitu panjang dan berseminar dengan penuh bersemangat dalam usaha menjadikan mata pelajaran berteraskan STEM suatu bidang subjek yang tidak ‘ditakuti’ oleh murid sekolah.
Semua itu memang mustahak dan kita seharusnya menyokong penuh iniasitif semua pihak dalam merangka pelan tindakan mengatasi fenomena STEM kurang diminati.
Namun, ada satu aspek yang dikira sangat penting untuk dipandang secara serius iaitu menambah baik dan memperkasakan kewujudan makmal sains.
Makmal sains adalah bilik amali yang sangat penting dan kewujudannya sewajarnya perlu seiring dengan perubahan semasa dalam pengajaran sains dan teknologi.
Segala peralatan yang disediakan perlu sentiasa selari dengan perubahan semasa dalam bidang sains. Ia tidak seharusnya dilihat dan dirasakan satu bilik yang kaku dan menggerunkan hati murid.
Untuk menjadikan murid minat terhadap STEM, ia bukan setakat guru itu perlu mahir dan bertindak bijak dalam aspek pengajaran dan pembelajaran sahaja.
Hal itu kerana subjek STEM khususnya sains adalah subjek beramali yang sangat memerlukan seseorang murid berasa seronok untuk melakukan uji kaji dalam suasana ceria tetapi berdisiplin.
Peralatan yang moden tetapi mudah difahami cara penggunaannya perlu menjadi fokus kepada Kementerian Pendidikan kerana peralatan lama dan seakan-akan ‘basi’ dengan perkembangan semasa ilmu sains wajar diganti dengan yang baru.
Maka, bagi merealisasikan hasrat itu, Kementerian Pendidikan sewajarnya tidak ‘kedekut’ untuk memperuntukkan dana penambahbaikkan makmal sains di sekolah. Tinjaulah secara bersungguh dan lakukan secara menyeluruh terhadap keadaan makmal sains di seluruh sekolah.
Kalau perlu, buatlah tinjauan dan lawatan penanda aras ke negara-negara maju lain dalam usaha mengikuti jejak baik mereka.
Kalau dalam bidang TVET pada peringkat awal penyungguhan dahulu, pihak Kementerian Pendidikan sendiri ‘keluar negara’ untuk melihat perjalanan bidang TVET sebagai model di negara kita.
Maka , tidak salah dan bukan membazir untuk pihak Kementerian Pendidikan sekali lagi ‘ke luar negara maju’ tetapi kali ini untuk melihat model makmal sains untuk pembelajaran sekolah yang terbaik. – UTUSAN
Mohd Rizal Azman Rifin
Pensyarah Kanan: Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah