Taktik suami isteri, dua rakan edar dadah guna kereta sewa tumpas

Taktik suami isteri, dua rakan edar dadah guna kereta sewa tumpas

NORHIZAM Bahaman (tengah) menunjukkan rampasan disyaki dadah pada sidang akhbar di IPD Sepang. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Taktik sepasang suami isteri dan dua rakan mengedar dadah menggunakan kereta sewa akhirnya kecundang selepas mereka ditahan polis dalam serbuan yang dijalankan di sekitar daerah ini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pasangan suami isteri warga tempatan berusia lingkungan 27 hingga 39 tahun itu berjaya ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis (IPD) Sepang bersama pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM16,500.

Menurutnya, menerusi serbuan pertama, polis merampas 84.32 gram dadah jenis syabu, 65 gram heroin, 14 gram ketamin dan 300 biji eramin 5, serta sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipercayai digunakan untuk aktiviti mengedar dadah.

“Modus operandi yang digunakan adalah menjadikan kereta sewa sebagai pengangkutan untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah di kawasan Sepang dan daerah-daerah berhampiran.

“Suspek dipercayai aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak 2016 dengan menjadikan hotel sebagai lokasi penginapan. Selain itu, kita juga mendapati pasangan terbabit menyara kehidupan mereka dengan menggunakan wang yang diterima sebagai upah mengedar dadah kira-kira RM1,600 bagi setiap penghantaran,” katanya menerusi sidang akhbar di IPD Sepang hari ini.

Mengulas lanjut, Norhizam berkata, saringan awal mendapati suspek lelaki terbabit positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, manakala suspek wanita negatif dadah.

Jelasnya, semakan turut mendapati suspek lelaki itu mempunyai enam rekod lampau atas kesalahan jenayah dan dadah serta satu kes dikehendaki (wanted).

Katanya lagi, siasatan lanjut yang dijalankan terhadap pasangan suami isteri terbabit kemudiannya membawa kepada penangkapan dua lagi suspek lelaki warga tempatan berusia lingkungan 35 hingga 39 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket itu.

“Dalam serbuan kedua, polis merampas dadah jenis syabu seberat 515 gram yang dianggarkan bernilai RM20,000 bersama sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dipercayai digunakan untuk pengedaran dadah.

“Saringan awal polis juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methampethamine dengan salah seorang mereka mempunyai lapan rekod lampau serta dua kes dikehendaki,” katanya.

Norhizam turut memaklumkan bahawa pasangan suami isteri terbabit bersama dua lagi suspek lelaki mengenali antara satu sama lain kerana sudah berkawan sejak kecil.

Beliau berkata, kesemua suspek direman selama lima hingga tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“BSJN IPD Sepang akan meneruskan siasatan untuk mengesan rakan sekutu suspek yang dipercayai masih bebas di luar sana. Kita juga mengalu-alukan orang awam untuk menyalurkan maklumat jenayah terutamanya berkaitan dadah kepada pihak polis untuk membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah,” katanya – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN