Sistem QR bantu kurangkan tempoh menunggu di HSA

Sistem QR bantu kurangkan tempoh menunggu di HSA

ONN HAFIZ Ghazi berbual dengan para petugas semasa mengadakan lawatan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tempoh waktu menunggu bagi mendapatkan rawatan kesihatan di klinik pakar dan poliklinik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini dijangka mampu dikurangkan menerusi penggunaan kod respons pantas (QR), Smart Queue System (SQS).

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sistem tersebut merupakan yang pertama digunakan di negara ini dan dibangunkan sepenuhnya oleh inisiatif kerajaan negeri dengan peruntukan RM1 juta.

Menurutnya, sistem tersebut akan mula diguna pakai secara berperingkat-peringkat bermula 1 Julai ini.

“Sebelum ini pesakit perlu datang awal dan beratur untuk mendapatkan nombor, satu untuk menerima rawatan satu lagi untuk mendapatkan ubat di farmasi.

“Menerusi sistem ini, mereka hanya perlu scan QR bagi mendapatkan satu nombor dan nombor itu akan digunakan untuk kedua-dua perkhidmatan, iaitu berjumpa doktor dan mengambil ubat,” katanya selepas mengadakan lawatan ke hospital tersebut, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon dan Pengarah Kesihatan Johor, Dr. Mohtar Pungut.

Sementara itu, Tian Soon memberitahu, menerusi sistem tersebut pesakit yang mahu mendapatkan rawatan boleh menunggu di kawasan lebih selesa terlebih dahulu.

“Sistem ini akan mengurangkan tempoh pesakit beratur, pesakit juga hanya perlu mendapatkan satu nombor dan mereka boleh menunggu di kafetaria atau di dalam kereta kerana notifikasi akan diberikan menerusi telefon bimbit,” jelasnya.

Kad janji temu fizikal pesakit masih digunakan, tetapi kebergantungan dengannya akan dikurangkan, sebaliknya semua butiran akan dimasukkan dalam SQS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN