Penyakit tekanan darah tinggi atau hipertensi di Malaysia semakin meningkat dari sehari ke sehari dan lebih membimbangkan ia semakin kerap dihidapi dalam kalangan yang berumur 20 an dan bawah 40 tahun.
Peningkatan penyakit ini dalam kalangan orang muda berbanding yang lebih berusia adalah disebabkan oleh interaksi kompleks kecenderungan genetik, faktor gaya hidup dan tabiat pemakanan.
Hipertensi, atau lebih umum disebut sebagai tekanan darah tinggi, adalah keadaan kronik di mana kekuatan tekanan darah pada dinding arteri adalah tinggi secara berterusan.
Pakar Perunding Am (Perubatan Dalaman) di Pusat Kesihatan, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr. Jolene See Su Chen berkata, hipertensi juga dikenali sebagai ‘pembunuh senyap’ kerana kebiasaannya ia hadir bersama sedikit atau tanpa simptom, menjadikan pemantauan berkala adalah penting.
“Hipertensi ditakrifkan sebagai peningkatan berterusan tekanan darah pada atau melebihi 140/90mmHg dan disahkan melalui bacaan yang diambil pada sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali pengukuran secara berasingan.
“Bagaimanapun, bacaan tekanan darah dalam julat 130 hingga 139mmHg sistolik dan 85 hingga 89mmHg diastolik sudah dianggap berisiko. Individu yang mempunyai tekanan darah dalam julat ini perlu memantau tekanan darah mereka dengan teliti dan membuat perubahan gaya hidup bagi membantu menurunkan tekanan darah,” katanya.
Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023, hipertensi menjejaskan 29.2 peratus atau hampir satu daripada tiga orang dewasa di Malaysia. Daripada angka ini, 11.9 peratus tidak tahu bahawa mereka menghidap hipertensi. Lebih merisaukan apabila kebanyakan mereka berumur dalam lingkungan 18 hingga 39 tahun, sekali gus menunjukkan pertambahan yang membimbangkan dalam kalangan orang muda.
Walaupun berdepan risiko yang ketara ini, namun masih ramai rakyat Malaysia yang tidak menyedari status tekanan darah mereka, biasanya kerana ia tidak bergejala pada peringkat awal menghidap hipertensi.
Kata Dr. Jolene tanggapan penyakit hipertensi tidak akan berlaku dalam kalangan orang muda adalah berbahaya kerana ia menyebabkan ramai orang muda percaya mereka tidak berisiko, sekali gus mengakibatkan pengabaian dan diagnosis atau pengesanan yang lewat.
“Ini kerana kebiasaannya hipertensi berlaku tanpa gejala. Oleh itu, pemeriksaan secara berkala adalah penting. Apabila mula menunjukkan gejala, ia mungkin menandakan hipertensi sudah dihidapi untuk beberapa ketika.
“Antara gejalanya sakit kepala, pening, sesak nafas, sakit dada dan hidung berdarah. Jika tidak dirawat boleh menyebabkan komplikasi lebih teruk dan mengancam nyawa, termasuk serangan jantung, kegagalan jantung, degupan jantung tidak teratur, strok, kegagalan buah pinggang dan kehilangan penglihatan,” katanya.
Justeru Dr. Jolene See menekankan supaya menjalani pemeriksaan tekanan darah sekurang-kurangnya sekali setahun sebagai sebahagian daripada pemeriksaan kesihatan tahunan mereka.
Tekanan darah juga perlu diperiksa apabila berjumpa doktor di klinik walaupun bagi masalah kesihatan lain.
Mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap hipertensi atau penyakit jantung harus memantau tekanan darah dengan kerap di rumah kerana pengesanan awal adalah kunci untuk menguruskan keadaan dengan berkesan.
Dr. Jolene berkata, kebanyakan rakyat Malaysia mengambil diet tinggi dengan kandungan garam dan lemak serta rendah nutrien penting.
Lebih memburukkan keadaan, gaya hidup lebih banyak duduk dan kurang melakukan aktiviti fizikal. Kadar tekanan emosi atau stres dalam persekitaran kerja menambahkan risiko mendapat tekanan darah tinggi.
“Orang ramai dinasihatkan mengawal pengambilan natrium harian di bawah 2,000 miligram sehari iaitu bersamaan dengan kira-kira 1 sudu teh. Kita juga boleh mengetahui lebih lanjut mengenai Pendekatan Pemakanan untuk Hentikan Hipertensi (DASH) yang direka untuk membantu mencegah atau merawat hipertensi.
“DASH juga membantu menurunkan paras kolesterol LDL yang dikaitkan dengan penyakit jantung. Diet DASH tertumpu kepada melebihkan pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin penuh dan protein tanpa lemak (daripada daging, ayam atau ikan tanpa lemak). Adalah penting untuk memilih makanan rendah lemak tepu dan trans, yang biasanya terdapat dalam makanan yang diproses,”katanya.
UBAH GAYA HIDUP
Melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala dan mengekalkan gaya hidup sihat adalah penting terutama selepas disahkan menghidap hipertensi. Ini kerana hipertensi adalah keadaan kronik yang memerlukan pengurusan dan penjagaan berterusan.
Pendekatan proaktif perlu diambil bagi mengurus dan mencegah hipertensi. Ini termasuk makan makanan seimbang yang kaya buah-buahan dan sayur-sayuran, kurangkan pengambilan garam dan alkohol, tidak merokok, kekal aktif dengan kerap bersenam dan kekalkan berat badan ideal.
Dr. Jolene See berkata, pendekatan itu adalah sebagai langkah pencegahan utama daripada penyakit hipertensi. Beliau menambah beberapa garis panduan am untuk mengekalkan berat badan yang sihat iaitu menerusi pemantauan Indeks Jisim Badan (BMI).
“Berdasarkan Pengurusan Obesiti CPG Malaysia 2023,BMI yang ideal adalah antara 18.5 dan 22.9. cm. Berdasarkan Pengurusan Obesiti CPG Malaysia 2023 juga, sasaran ukur lilit pinggang bagi lelaki pula perlu kurang daripada 90 sentimeter (cm), manakala bagi wanita pula kurang daripada 80 cm.
“Penurunan berat badan sederhana sebanyak 5 hingga 10 peratus daripada berat semasa anda boleh menambahbaik tekanan darah dan kesihatan keseluruhan dengan ketara,” katanya.
Tambahnya, adalah penting mengikuti rawatan yang ditetapkan apabila disahkan mengalami hipertensi. Pesakit yang baru didiagnosis juga perlu memandang serius keadaan mereka dan membuat perubahan gaya hidup yang diperlukan.
“Patuhi nasihat doktor tanpa mengubah dos ubatan sendiri. Ramai yang tersalah anggap pengambilan ubat untuk tempoh jangka panjang mungkin membahayakan buah pinggang pesakit dan boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang.
“Ini adalah mitos dan tidak makan ubat seperti ditetapkan oleh doktor hanya akan membahayakan pesakit. Semua ubat-ubatan ini sudah diuji secara saintifik dan ditetapkan pada dos yang selamat di bawah pengawasan doktor pesakit,”katanya.
Pencegahan bermula dengan kesedaran, pengetahuan, dan tindakan. Memahami risiko dan membuat pilihan yang wajar, misalnya mengamalkan diet sihat, mengurangkan pengambilan garam dan mengekalkan gaya hidup seimbang adalah langkah utama dalam mencegah hipertensi. – UTUSAN