PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki Indonesia yang dilaporkan aktif mencuri bateri kereta sekitar Dato Senu, Sentul dekat sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sentul.
Katanya, siasatan mendapati suspek, warga Indonesia berusia 27 tahun dan bekerja sebagai pembantu kedai makan, aktif melakukan jenayah itu di kawasan terbabit.
“Suspek ditahan reman sehingga 21 Februari depan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, susulan penahanan itu, polis percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 17 kes kecurian komponen kenderaan yang dilaporkan sejak Oktober 2025.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah supaya menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu membanteras jenayah daripada terus berleluasa.- UTUSAN










