KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk membuka sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Sistem eDKK) kepada orang awam.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pelaksanaan Sistem eDKK merupakan pangkalan data terkawal yang merekodkan maklumat individu yang disabitkan oleh mahkamah atas kesalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Katanya, sistem tersebut kini digunakan oleh agensi kerajaan, institusi pendidikan, majikan dan organisasi berkaitan kanak-kanak.
“Sistem ini berfungsi sebagai mekanisme pencegahan awal untuk menyaring individu yang ingin bekerja atau berinteraksi secara langsung dengan kanak-kanak.
“Institusi pendidikan, pusat jagaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan majikan dapat memastikan individu yang mempunyai rekod sabitan jenayah seksual tidak ditempatkan dalam persekitaran yang memberi mereka akses kepada kanak-kanak,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat membuka akses sistem rekod kesalahan jenayah kanak-kanak secara atas talian bagi memastikan keselamatan kanak-kanak terpelihara.
Menurut Nancy, kerajaan sentiasa memastikan semakan latar belakang individu yang akan bekerja dengan kanak-kanak dapat dilaksanakan melalui mekanisme terkawal dan berintegriti wlaupun Sistem eDKK tidak boleh diakses secara langsung oleh orang awam.
“Pihak yang ingin mengambil pekerja yang terlibat secara langsung dengan kanak-kanak boleh mengemukakan permohonan semakan melalui JKM sebagai langkah keselamatan dan perlindungan kanak-kanak,” katanya.-UTUSAN










