PETALING JAYA: Pelumba cilik negara, Qabil Irfan Azlan terus mengibarkan Jalur Gemilang di bumi Sepanyol, selepas menjuarai perlumbaan 2 pada Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2025 di Litar Barcelona-Catalunya, hari ini.
Anak jati Terengganu berusia 13 tahun itu yang mewakili pasukan Frando Racing VHC Team Luqui Moly melakar masa terpantas 24 minit 46.464 saat (s) untuk mengungguli perlumbaan pusingan kedua tersebut.
Naib juara menjadi milik pelumba Bulgaria, Nikola Miroslavov dari pasukan Ring Racing 16 (24:46.470s), manakala, tempat ketiga dimenangi oleh Alessio Arnold dari Switzerland yang mewakili pasukan Fulloto Scuadra Corse (24:46.470s).
Qabil ketika ditemu bual selepas perlumbaan berakhir berkata, dia berusaha untuk menjaga tayar jentera sepanjang perlumbaan bagi mengelak persembahannya terjejas.
“Perlumbaan ini sangat sukar kerana tayar saya menggelongsor ketika perlumbaan dan saya cuba untuk mengekalkan tayar saya agar berada dalam keadaan baik.
“Dan sewaktu perlumbaan memasuki pusingan terakhir pula, saya tahu apa yang hendak saya lakukan,” katanya.
Mengulas pula sewaktu perlumbaan 1, Qabil Irfan berkata, dia dipotong oleh pencabarnya ketika berada di laluan lurus pada pusingan terakhir.
“Saya cuba mengejar dan mengekori rapat Arnold, tetapi, dalam masa sama saya berdepan cabaran dengan tayar motosikal,” katanya.
Dalam perlumbaan 1 yang berlangsung, semalam, Qabil Irfan muncul sebagai naib juara dengan catatan masa 24:53.033s, manakala, Arnold pula memenangi saingan tersebut (24:52.942s) dan Miroslvov di kedudukan ketiga (24:53.048s).
Pencapaian di Barcelona dengan dua keputusan podium menyaksikan Qabil Irfan mengekalkan prestasi konsisten, musim ini, selepas dia menjuarai perlumbaan 1 dan 2 di Litar Jerez, bulan lalu. – UTUSAN