Pulau Pinang komited sokong inisiatif perkasa belia

Pulau Pinang komited sokong inisiatif perkasa belia

DANIEL Gooi Zi Sen (depan, tengah) pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Sidang Muda 2025 di George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri sentiasa komited dalam menyokong sebarang inisiatif untuk memperkasakan belia khususnya dalam hal yang menyentuh mengenai pembentukan karakter, daya kepimpinan, serta kesedaran sosial dan politik mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen berkata, ini termasuk menyokong program seperti Sidang Muda yang disifatkannya penting dalam mendidik serta menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan belia ketika ini.

Kata beliau, melalui pembabitan dalam program itu, anak muda berpeluang untuk memahami bagaimana proses membuat keputusan dalam sesebuah kerajaan itu berlaku selain membolehkan mereka melibatkan diri secara langsung dalam simulasi sistem demokrasi negara.

“Kita berada dalam era yang menuntut generasi muda yang bukan sahaja celik maklumat, tetapi juga celik demokrasi. 

“Belia hari ini bukan lagi sekadar pewaris masa depan, tetapi, merupakan pemimpin masa kini yang harus diberi ruang, sokongan dan kepercayaan,” katanya ketika Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Sidang Muda di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 40 daripada keseluruhan 132 peserta berdaftar terpilih untuk menjadi Ahli Sidang Muda bagi negeri Pulau Pinang untuk tahun ini.

Selain kerajaan negeri, program itu turut diadakan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang (JBSNPP) di bawah inisiatif Rakan Muda iaitu Rakan Demokrasi.  

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Petugas Sidang Muda 2025, A. Kumaresan berkata, pihaknya telah merangka pelbagai program dan aktiviti kepada ahli Sidang Muda 2025 untuk memberi pendedahan lanjut tentang struktur kerajaan melalui latihan teoritikal dan praktikal.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban berkata, beberapa siri lawatan, bengkel pengucapan awam, sesi perkongsian, sesi libat urus bersama Ahli Majlis dan ADUN serta bengkel penyediaan usul dan sebagainya turut disusun kali ini.

“Dalam dunia yang semakin kompleks ini, belia sepatutnya perlu lebih bijak dalam menyuarakan pendapat masing-masing.

“Dalam hal ini, mereka disaran untuk tidak hanya lantang mengkritik di media sosial, tetapi juga, perlu lebih peka terhadap isu dalam komuniti serta mengutarakan idea-idea yang bernas sebagai penyelesaian kepada isu-isu berbangkit melalui medium yang tepat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN