Stesen KTM Butterworth dinaik taraf dengan peruntukan RM30 juta

Stesen KTM Butterworth dinaik taraf dengan peruntukan RM30 juta

ANTHONY Loke Siew Fook (tengah) ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Konvensyen Tahunan Negeri DAP Pulau Pinang 2025 di sebuah hotel di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.-UTUSAN/ISWAN SHAFIQ ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan akan menaik taraf stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Butterworth dengan peruntukan sebanyak RM30 juta dalam masa yang terdekat ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ketika ini, penilaian berkaitan telah dibuat dan kontraktor yang berkenaan juga akan dilantik secepat mungkin.

“Stesen ini adalah salah satu stesen yang utama dan seperti yang saya katakan, perancangan kita ialah mahu menjadikan stesen (KTM) Butterworth bersama-sama dengan terminal feri di sini (Butterworth) serta Penang Central sebagai hab pengangkutan awam bersepadu.

“Contohnya, jika seseorang itu mengambil ETS (perkhidmatan tren elektrik) dari Kuala Lumpur atau Johor untuk datang ke Pulau Pinang, maka, dia ada pelbagai pilihan sama ada mahu mengambil feri untuk pergi ke pulau atau LRT (transit aliran ringan) pada masa akan datang.

“Jadi, ini merupakan satu konsep terminal pengangkutan awam bersepadu yang menghubungkan pelbagai mod (pengangkutan) dalam satu tempat sekali gus menjadi nadi pembangunan kepada kawasan sekelilingnya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika menghadiri Konvensyen Tahunan Negeri DAP Pulau Pinang 2025 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Terdahulu, ketika berucap sempena konvensyen tersebut, beliau turut memaklumkan bahawa pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) akan diperluas kepada Terminal Kargo Udara di Batu Maung.

Katanya, perluasan itu bagi memperkukuhkan lagi perkhidmatan logistik udara serta memudahkan pemain industri untuk mengakses perkhidmatan tersebut di peringkat antarabangsa.

“Ini (perluasan) juga akan melipatgandakan kapasiti kargo udara daripada tiga tempat letak kapal terbang menjadi kepada enam tapak letak kapal terbang.

“Semua projek ini akan menjadi nadi kepada pembangunan dan kemajuan Pulau Pinang. Ini bagi memastikan Pulau Pinang terus menjadi pusat perindustrian dan pusat pembangunan elektronik, semikonduktor dan sebagainya bukan saja di Malaysia tetapi di rantau Asia Pasifik,” ujar beliau.

Tambah beliau, projek tersebut akan dijalankan menerusi kerjasama Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB), kerajaan negeri serta Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN