Pulau Pinang: Sindiket edar bunga ganja lebih RM8 juta tumpas

Pulau Pinang: Sindiket edar bunga ganja lebih RM8 juta tumpas

AZIZEE Ismail (depan) menunjukkan sebahagian daripada bunga ganja yang dirampas dalam siri serbuan di Bukit Mertajam bermula Selasa lalu ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah terbesar tahun ini selepas merampas ratusan kilogram (kg) bunga ganja bernilai lebih RM8 juta dalam siri serbuan bermula pukul 10 malam, Selasa lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail berkata, dalam serbuan itu, lapan individu termasuk seorang lelaki warga United Kingdom (UK) serta seorang wanita warga Thailand turut ditahan.

Katanya, lelaki warga UK itu ditahan bersama lima lelaki warga tempatan yang lain dalam serbuan di sebuah inap desa di Bukit Mertajam sebelum polis menahan wanita Thailand terbabit bersama seorang lagi lelaki tempatan yang juga suaminya tidak jauh dari situ.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan di inap desa itu kemudian menemukan 17 bagasi berisi 281 bungkusan bunga ganja seberat 247.7 kg yang dianggarkan bernilai RM8.67 juta,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Mengulas lanjut, Azizee berkata, suami kepada wanita Thailand itu yang juga seorang pemilik sebuah restoran berusia 30-an dipercayai merupakan dalang utama sindiket berkenaan yang menjadikan inap desa tersebut sebagai pusat penyimpanan bunga ganja.

“Dalang utama ini dikatakan mempunyai rangkaian dengan individu dari negara jiran di sempadan Pantai Timur yang membekalkan bunga ganja melalui jalan darat ke Malaysia,” katanya yang memberitahu, sindiket itu juga sering berpindah-randah bagi mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, Azizee berkata, pihaknya percaya bahawa lelaki warga UK berketurunan Pakistan yang turut ditahan dalam serbuan itu telah digunakan sebagai ‘keldai dadah’ untuk membawa bungkusan ganja berkenaan melalui jalan udara keluar dari Malaysia.

“Bekalan ganja tersebut bukan untuk pasaran tempatan, tetapi, dipercayai untuk pasaran luar negara dan dalam hal ini, Malaysia telah dijadikan sebagai negara transit.

“Difahamkan, harga pasaran semasa untuk bunga ganja itu ketika ini pula ialah kira-kira RM35,000 sekilogram,” katanya yang menjelaskan, polis turut menyita dua buah kenderaan yang dianggarkan bernilai RM210,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dalam serbuan berkenaan.

Tambah Azizee, kesemua suspek yang berusia antara 20 hingga 37 tahun itu kini direman selama tujuh hari bermula 5 November lalu bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN