Pulau Pinang aktifkan semula Jawatankuasa Pilihan Hubungan Negeri-Persekutuan

Pulau Pinang aktifkan semula Jawatankuasa Pilihan Hubungan Negeri-Persekutuan

GOOI Hsiao Leung (kanan) ketika mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Pilihan Hubungan Negeri-Persekutuan di George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pulau Pinang mengaktifkan semula Jawatankuasa Pilihan Hubungan Negeri-Persekutuan bagi memperkukuh suara negeri itu di peringkat Persekutuan.

Pengerusi jawatankuasa itu, Gooi Hsiao Leung berkata, objektif utama penubuhan jawatankuasa tersebut untuk mengkaji dan mencadangkan kaedah pemindahan kuasa dan sumber Kerajaan Persekutuan kepada negeri dengan lebih adil.

Beliau berkata, jawatankuasa juga berperanan meneliti dasar-dasar utama dan projek melibatkan peruntukan Persekutuan.

“Jawatankuasa juga berperanan memperjuang agihan fiskal yang lebih adil bagi membolehkan negeri memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan.

“Ia juga menggalakkan hubungan yang membina dan kerjasama dengan kementerian serta agensi Persekutuan dalam hal ehwal berkaitan negeri,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat rasmi pertama jawatankuasa berkenaan, hari ini.

Difahamkan, Pulau Pinang negeri pertama yang menubuhkan jawatankuasa berkenaan bagi mewujudkan platform lebih tersusun dan konstruktif dalam memperjuangkan hubungan Negeri-Persekutuan yang lebih adil. Ia juga untuk memperkasa peranan dimainkan oleh kerajaan negeri ketika ini.

Selain Hsiao Leung yang juga wakil rakyat PKR, jawatankuasa itu turut dianggotai Ketua Pembangkang daripada Pas merangkap ADUN Sungai Dua, Muhammad Fauzi Yusoff; ADUN Bayan Lepas daripada Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Azrul Mahathir Aziz dan ADUN Machang Bubok dari PKR, Lee Khai Loon.

Ahli jawatankuasa lain ialah ADUN Seberang Jaya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Izhar Shah Arif Shah; ADUN Komtar dari DAP, Teh Lai Heng dan ADUN Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng juga dari DAP.

Hsiao Leung berkata, semua anggota jawatankuasa bersetuju melantik satu panel pakar bagi menyokong kerja-kerja mereka, antaranya bekas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang, Datuk Seri Farizan Darus.

Pakar lain ialah Pengarah Urusan Think City, Datuk Hamdan Abdul Majeed; bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang; bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud dan bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Francis Loh Kok Wah.

Beliau berkata, jawatankuasa juga telah merangka beberapa inisiatif yang akan dilaksanakan antaranya, kempen pendidikan awam mengenai keadilan fiskal, kajian perbandingan terhadap model desentralisasi di negara lain, sesi libat urus dan penganjuran simposium antara negeri berprofil tinggi.

“Satu laporan rasmi serta syor mengenai perkara ini akan dibentang untuk perbahasan ketika sidang DUN pada November depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN