PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) menggesa sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat berkaitan siasatan dan pendakwaan ke atas bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Muhammed Yusoff Rawther tanpa perlu membela diri mengesahkan pelbagai persoalan membabitkan lelaki tersebut.
Katanya, pendakwaan gagal telah membuktikan kes prima facie berkemungkinan besar kerana akibat bukti-bukti yang dikemukakan adalah direka untuk mensabitkan kesalahan.
“Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin yang melepas dan membebaskan Yusoff Rawther tanpa perlu membela diri mengesahkan keraguan ini.
“Saya menggesa supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat kemungkinan penipuan dan salah guna kuasa yang berlaku dalam siasatan dan pendakwaan ke atas Yusoff Rawther,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan Muhammed Yusoff tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan, tahun lalu.
Hakim Datuk Muhammad Jamil memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan.
Muhammed Yusoff didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dalam kenderaan yang dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 10.15 pagi, 6 September tahun lalu.
Dia juga didakwa atas pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini pada 9.25 pagi, 6 September tahun sama.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pihak berkuasa perlu memberi jaminan terhadap keselamatan Muhammed Yusoff susulan pembebasannya.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Hakim Mahkamah Tinggi yang berani membuat keputusan berasaskan prinsip undang-undang dan keadilan,” katanya. – UTUSAN