KUALA LUMPUR: Kerajaan meneliti penganugerahan kontrak projek pembangunan kepada Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM) berikutan prestasi baik dan pengurusan yang kompeten.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution IsmailSaifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu dipersetujui secara prinsipal oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pihaknya akan memperincikan butiran dalam masa terdekat.
“Satu pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, yang pada prinsipnya bersetuju untuk mendokong KPDRM dalam bentuk peluang untuk melaksanakan beberapa projek utama di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Perdana Menteri membuat pengumuman dasar bahawa selagi koperasi menunjukkan prestasi pengurusan yang baik, kompeten dan mengamalkan good governance pada kos yang munasabah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan ke-90 Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM) Berhad 2025 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, KDN ialah kementerian ketiga dari segi hierarki bajet tahunan, selepas Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.
Justeru, katanya, terdapat peruntukan pembangunan yang menjadi keutamaan pihaknya termasuk menambah baik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh negara.
“Antara yang tersenarai IPK Kelantan, IPK Perak, IPK Pulau Pinang dan IPK Terengganu yang hampir siap serta IPD Wangsa Maju, IPD Kapit, dan IPD Padang Besar,” katanya.
Beliau berkata, secara prinsipnya Perdana Menteri bersedia mempertimbangkan agar pelaksanaan projek-projek di bawah KDN boleh dilaksanakan oleh KPDRM.
“Amalan sekarang ialah projek-projek KDN dilaksanakan melalui dua agensi penting iaitu JKR (Jabatan Kerja Raya) dan syarikat diperbadankan Kementerian Kewangan.
“Tapi dengan kesediaan Perdana Menteri memberi peluang kepada koperasi, jika mereka memenuhi syarat-syarat seperti good governance, kompetensi, dan kos yang munasabah, ini adalah asas yang penting kenapa pertimbangan itu boleh dibuat,” katanya.
Menurutnya, jika perkara itu direalisasikan ia bakal memberi manfaat kepada lebih 100,000 ahli KPDRM.
Bagaimanapun katanya, kepercayaan Perdana Menteri itu bukan bermakna pihak KPDRM boleh membuat secara sambil lewa dan beliau menegaskan setiap syarat dan garis panduan perlu dipatuhi.
“Maka, saya akan lihat projek-projek fizikal yang sudah diumumkan, yang ada bajet tetapi belum dilaksanakan, serta projek baru yang kita akan ‘bid’ kepada Kementerian Ekonomi.
“Dengan itu, mudah untuk saya berbincang dengan pengurusan PDRM supaya mereka dapat kenal pasti kawasan mana yang patut diambil peluang oleh koperasi,” katanya. – UTUSAN