PETALING JAYA: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menetapkan sasaran untuk sekurang-kurangnya meraih 13 pingat emas dalam Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember ini.
Itu merupakan pencapaian yang dilakukan oleh skuad berbasikal negara di temasya dwitahunan itu selepas kali terakhir acara trek dipertandingkan ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada 2017.
Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, beliau telah mengadakan pertemuan bersama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin bagi membincangkan sasaran tersebut.
“Dan sasaran kami adalah untuk memastikan jumlah yang sama atau pencapaian yang sama kami lakukan pada edisi lalu.
“Kami perlu realistik, kami tidak boleh pergi lebih rendah daripada itu. Kita harus mencuba untuk meningkatkannya. Selain itu, sekarang kita ada acara trek.
“Jadi, saya fikir Malaysia ada potensi tetapi kalau kita boleh mengekalkan apa yang telah dicapai pada Sukan SEA yang lalu, saya fikir ia bagus dan menambah pingat adalah bonus,” katanya.
Bagaimanapun, PKBM menerima berita kurang baik berikutan tiga acara yang sebelum ini skuad berbasikal negara memperoleh pingat emas berkemungkinan tidak dipertandingkan.
Tiga acara tersebut adalah kejar-mengejar berpasukan lelaki, keirin lelaki dan pecut berpasukan lelaki yang bakal digantikan dengan acara omnium lelaki dan wanita serta scratch lelaki.-UTUSAN