Peranti kawalan had laju kenderaan perdagangan dikuat kuasakan

Peranti kawalan had laju kenderaan perdagangan dikuat kuasakan

ANTHONY Loke Siew Fook mendengar penjelasan dari Jurutera Prajualan Scania, Shahirwan Salamun berkenaan peranti had laju yang dipasang di dalam sebuah bas pada Majlis Penggunaan Speed Limitation Device (SLD) Bagi Kenderaan Perdagangan di Scania (Malaysia) Sdn. Bhd, Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan akan menguatkuasakan penggunaan peranti kawalan had laju (SLD) ke atas kenderaan perdagangan termasuk bas bagi mengurangkan risiko kemalangan maut dan meningkatkan keselamatan jalan raya.

Had pada SLD itu mengikuti Had Laju Kebangsaan yang ditetapkan bagi kenderaan berkenaan iaitu maksimum 90 kilometer per jam (km/j).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penguatkuasaan itu akan dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) secara berperingkat di seluruh negara.

Jelasnya, SLD merupakan sistem yang direka khas bagi mengehadkan kelajuan maksimum sesebuah kenderaan.

“Peranti itu berperanan penting dalam mengelak pemanduan melebihi had laju ditetapkan terutama kenderaan membawa muatan berat atau penumpang.

“Penguatkuasaan SLD itu melibatkan bas ekspres dan persiaran selain kenderaan barangan berat bermuatan maksimum lebih 3,500 kilogram (kg),” katanya selepas merasmikan majlis penggunaan peranti itu di Ibu Pejabat Scania di sini, hari ini.

Menurut Anthony Loke, semua bas ekspres dan persiaran serta kenderaan barangan berat yang didaftar bermula 1 Januari 2015 wajib mendapatkan pengesahan kefungsian dan laporan SLD.

“Pengesahan itu perlu diperoleh daripada pengilang atau pengeluar kenderaan, bengkel atau fasiliti servis diiktiraf JPJ selain badan pensijilan bertauliah (Jabatan Standard Malaysia).

“Dokumen itu wajib diperbaharui setiap dua tahun dan ia perlu dibawa setiap masa bagi tujuan penguatkuasaan JPJ.

“Pengesahan kefungsian SLD akan bermula pada 1 Oktober depan,” ujarnya.

Beliau berkata, pengaktifan peranti itu turut diwajibkan bagi kenderaan perdagangan yang didaftar sebelum 1 Januari 2015 dan mempunyai fungsi Electronic Control Unit (ECU)

“Ia termasuk melibatkan kenderaan rebuild dan kenderaan barangan import terpakai selain pemasangan secara retrofit.

“Pengaktifan itu masing-masing akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari dan 1 Julai tahun depan,” katanya.

Tambah Anthony Loke, kementeriannya masih memberi masa kepada pihak terlibat dan akan mengadakan sesi libat urus berkaitan penguatkuasaan itu.

“Pelaksanaan SLD penting bagi memastikan kenderaan perdagangan mematuhi ciri keselamatan kritikal dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya melibatkan nyawa dan harta benda.

“Semua pemain industri, pengeluar, operator logistik dan pemilik kenderaan itu diminta bekerjasama penuh bagi merealisasikan sistem pengangkutan yang lebih selamat, moden dan berdaya saing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN