NIBONG TEBAL : Sebanyak 13 buah kenderaan perdagangan khususnya lori dikenakan tindakan menerusi Op Khas Bersepadu yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang di sini, Sabtu lalu.
Jurucakap JPJ negeri berkata, dalam operasi yang berlangsung dari pukul 11 malam hingga 7 pagi itu, penguatkuasaan dijalankan terhadap kenderaan perdagangan yang dikesan membawa lebih muatan melebihi had dibenarkan.
“Antara kesalahan lain yang turut dikesan adalah tayar haus berlebihan, pemasangan ‘strobe light’ tanpa kebenaran, ubah suai kenderaan dan tidak menyelenggara kenderaan dengan baik.
“Kesemua kenderaan terbabit dikenakan tindakan di bawah seksyen 57(1) (b) (iv) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan kesalahan di bawah Kaedah 89 MV (C&U) 1959.
“Penguatkuasaan ini akan diteruskan bagi memastikan pemandu dan pengusaha kenderaan perdagangan ini mematuhi peraturan dan undang- undang yang ditetapkan,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu katanya, dalam operasi berasingan, sebanyak 41 notis saman dikeluarkan terhadap pemandu kenderaan yang tidak memakai tali pinggang di sekitar Taman Chai Leng, di sini Khamis lalu.
Jelas beliau, saman itu dikeluarkan mengikut Kaedah 4, Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978.-UTUSAN










