SHAH ALAM: Seorang penyanyi dan pelakon lelaki terkenal dipercayai baharu kali pertama melakukan amang seksual ke atas remaja perempuan berusia 17 tahun.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati suspek kali pertama membawa mangsa ke hotel berkenaan setelah dipercayai kedua-duanya telah berkenalan sejak dua bulan lalu.
“Mereka pernah berhubung sebelum ini dan itu adalah kehadiran pertama mereka berjumpa (di hotel). Ia juga kali pertama suspek dipercayai melakukan amang seksual. Tempoh perkenalan mereka singkat dalam tempoh satu atau dua bulan,” katanya pada sidang akhbar di IPK negeri di sini hari ini.
Katanya, suspek yang ditahan telah dirakamkan keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Utusan Malaysia semalam melaporkan kertas siasatan kes amang seksual melibatkan penyanyi itu akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Suspek ditahan polis pada Selasa lalu selepas melakukan amang fizikal ke atas remaja perempuan di sebuah hotel di Selangor yang dikatakan berkenalan dengan artis berkenaan di sebuah kafe tempatnya bekerja.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792).
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrul Shahrulnizam Ja’afar mengesahkan bahawa pelakon tidak akan dituduh di mahkamah hari ini.