Belum ada keputusan hukum ibu bapa beri akses media sosial kepada anak

Belum ada keputusan hukum ibu bapa beri akses media sosial kepada anak

TEO NIE CHING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum memutuskan sama ada tindakan atau hukuman akan dikenakan terhadap ibu bapa yang membenarkan anak berusia 16 tahun ke bawah membuka akaun media sosial apabila peraturan berkaitan penggunaan platform itu dilaksanakan kelak.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, setakat ini tiada sebarang ketetapan dibuat di peringkat kementerian mahupun Kabinet mengenai perkara tersebut.

Katanya, kerajaan memiliki keazaman yang kuat untuk menangani ketagihan media sosial dan internet dalam kalangan kanak-kanak, namun sebarang langkah memerlukan penelitian rapi serta konsensus.

“Larangan membuka media sosial tidak bermaksud kanak-kanak tidak boleh menggunakan internet. Itu perkara berbeza.

“Pada masa sama, ibu bapa tetap bertanggungjawab mendidik dan memantau anak-anak. Masalahnya, ibu bapa memberikan telefon kepada anak tetapi tidak mengambil berat apa yang ditonton,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab celahan Sim Tze Tzin (PH–Bayan Baru) yang meminta penjelasan sama ada kerajaan bercadang mengenakan hukuman terhadap ibu bapa yang membenarkan anak di bawah usia 16 tahun membuka akaun media sosial.

Menurut Nie Ching, kerajaan belum bersedia membuat keputusan sedemikian dan keperluan perbincangan mendalam antara semua pihak sebelum sebarang langkah diambil.

Semalam, kerajaan mengumumkan kanak-kanak berusia 16 tahun ke bawah tidak lagi dibenarkan memiliki akaun media sosial sendiri apabila larangan berkenaan dikuatkuasakan mulai 2026.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu adalah sebahagian usaha kerajaan mengekang peningkatan jenayah siber melibatkan golongan muda, selain melindungi kanak-kanak daripada risiko eksploitasi secara atas talian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN