PETALING JAYA: Beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah berjaya membuat penyokong di Istora Senayan terdiam seketika selepas menyingkirkan gandingan tuan rumah, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia di Jakarta, Indonesia, hari ini.
Menggalas status sebagai beregu No. 4 dunia, Pearly-Thinaah dipaksa bekerja keras sebelum meraih kemenangan ke atas Lanny-Siti Fadia yang menghuni ranking ke-20 dunia 18-21, 21-16, 21-17 dalam masa 59 minit.
Kejayaan itu bakal menemukan mereka sama ada dengan beregu Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi ataupun pasangan remaja Malaysia, Ong Xin Yee-Carmen Ting di suku akhir, esok.
Thinaah berkata, tidak mudah sebenarnya berdepan dengan beregu tuan rumah dan sebab itu penting untuk mereka saling memberikan sokongan di antara satu sama lain.
“Kami sedar yang kami bukan sakadar bermain menentang beregu Indonesia, tetapi seluruh Istora (Senayan).
“Kami memang bersedia untuk berdepan ujian ini, sokongan yang diberikan penyokong memang gila,” katanya ketika ditemu bual BWF selepas tamat perlawanan.
Pearly pula berkata, dia dan Thinaah sebenarnya sudah mula terasa penat ketika beraksi dalam set penentuan, tetapi, lawan juga serupa.
“Bukan kami sahaja penat, lawan pun sama, sebab itu penting untuk kami saling memberikan motivasi untuk memburu kemenangan,” kata anak jati Kedah itu.
Sementara itu, dalam saingan beregu lelaki, gandingan No. 7 dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menewaskan rakan senegara, Arif Junaidi-Yap Roy King 14-21, 21-11, 21-15 dalam masa 48 minit.
Pada suku akhir, juara Malaysia Masters itu bakal berdepan laluan getir menentang beregu India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty yang mengetepikan Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dari Denmark 16-21, 21-18, 22-20 dalam masa 1 jam 8 minit.
Wei Chong ketika ditemu bual selepas perlawanan berkata, tidak mudah bertemu dengan rakan seperjuangan yang juga teman sepelatih.
“Perlawanan ini tidak mudah kerana kami saling mengenali, jadi, kemenangan tadi bergantung kepada kondisi kami sewaktu beraksi,” katanya. – UTUSAN