JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan tidak akan mengambil tindakan terhadap pengusaha dan peniaga sepanjang Op Gasak yang sedang dilaksanakan.
Timbalan Menterinya, Dr. Fuziah Salleh berkata, jaminan itu bagi menjawab kekeliruan pengusaha yang menggunakan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi, namun masih belum memiliki Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB).
Beliau berkata, setakat ini, pihaknya masih lagi mengumpul data dan maklum balas daripada industri, khususnya peniaga makanan dan minuman serta dobi layan diri.
“Setakat ini, saya boleh beri jaminan bahawa sepanjang Op Gasak ini dilakukan, tidak ada tindakan penguatkuasaan akan diambil kepada pengusaha mikro. Ini kerana ada pihak tertentu yang membawa mesej mengelirukan golongan peniaga.
“Sekiranya penguat kuasa KPDN turun pandang, ia lebih kepada mengutip maklumat data serta mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri di peringkat negeri.
“Kalau kita guna Op Gasak pun kepada industri, contohnya industri hotel yang menggunakan LPG bersubsidi untuk bahagian mencuci kelengkapan hotel, ini adalah ketirisan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Pengkuatkuasaan dan Advokasi Kepenggunaan di sini hari ini.
Sejak 1 Mei lalu, KPDN mengumumkan pelaksanaan Op Gasak bagi mengekang ketirisan dan penyelewengan tong LPG bersubsidi, khususnya membabitkan industri berskala sederhana dan besar.
Operasi sehingga 31 Oktober itu juga bertujuan membanteras penyelewengan menerusi aktiviti haram, pemindahan LPG dari tong bersubsidi ke tong tidak bersubsidi untuk jualan komersial dan penyeludupan.
Menurut Fuziah, sesi libat urus tersebut bagi mengetahui kadar penggunaan harian serta kesan langsung kepada pengguna. – UTUSAN