Sebagai umat Islam adakah kita berpuas hati dengan pencapaian ilmu yang ada pada diri ketika ini atau sudah cukupkah bekalan ilmu yang ada dan tidak perlu lagi meneroka lebih jauh selagi hayat masih ada? Sedangkan menuntut ilmu itu sewajarnya dilakukan sepanjang hayat dengan pelbagai ilmu yang akan memberikan kita kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Pendakwah dan pengajar tafsir al-Quran Madrasah As Syarif Kampung Bukit Rang, Jerantut, Ustaz Cik Wan Mohd. Ilyas Wan Mohammed berkata, pelbagai ilmu boleh dituntut meliputi fardu ain seperti ilmu aqidah, syariah dan akhlak serta ilmu fardu kifayah yang mencakupi pelbagai bidang seperti teknologi, kemahiran, perubatan dan sebagainya.
Menurutnya, kekuatan ilmu boleh mengarahkan umat patuh kepada perintah Allah dan boleh membezakan perkara baik dan hal yang dilarang oleh Allah SWT seperti firman dalam surah al-Zumar ayat 39:9, bermaksud: ‘Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna’.
Menurutnya, manusia dapat membezakan antara benar dan salah melalui ilmu, sehingga boleh memahami tanggungjawab sebagai insan yang bertakwa menjalankan segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.
USTAZ CIK WAN MOHD. ILYAS WAN MOHAMMED
Tarikh Lahir: 29 Oktober 1988
Tempat Lahir: Hospital Jerantut
Pendidikan rendah: Sekolah Kebangsaan Pulau Tawar, Jerantut, Pahang
(1994 – 1999)
Pendidikan Madrasah dan Pengajian Tahfiz/Kitab: Madrasah Darul Uloom al Islamiyyah Sungai Salan, Jerantut, Pahang (2000 – 2005)
Miftahul Ulum Sri Petaling, Selangor (2009 – 2016)
Jawatan Sekarang: Guru Tahfiz Madrasah As Syarif Kampung Bukit Rang, Jerantut, Pahang
Jawatan Kemasyarakatan:
Biro Dakwah dan Kerohanian, Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK)
Bukit Rang, Pulau Tawar, Jerantut.
Katanya, Islam menggalakkan umatnya menuntut ilmu serta beramal dengannya. Tingginya kedudukan ilmu dalam Islam sehingga wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW adalah suruhan untuk membaca (Iqra’) yang merupakan pintu kepada sumber ilmu.
Selanjutnya, katanya, Allah SWT memuji orang yang berilmu menerusi firman-Nya dalam surah al-Mujadalah ayat 11, bermaksud: ‘Allah Ta’ala meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat’.
Terang Cik Wan Mohd. Ilyas, konotasi yang cukup indah terbit daripada mulut para cerdik pandai dan guru, iaitu ‘Tuntutlah ilmu dari buaian sehingga ke liang lahad, dan tuntutlah ilmu sampai ke negeri China’. Hal ini mengarahkan bagaimana tamadun Islam mencatatkan sejarah gemilang melalui sumbangan para ulama sejak zaman para sahabat sehingga ke hari ini.

Katanya lagi, para sahabat berkenaan memiliki kemahiran dan kepakaran dalam pelbagai bidang ilmu seperti Imam al-Shafie mempelopori penulisan usul feqah. Imam al-Bukhari, Imam Muslim dan lain-lain menghimpun ratusan ribu hadis. Imam Tabari, Imam Fakhruddin ar-Razi, Imam Qurtubi dan lain-lain mempunyai penulisan tafsir al-Quran berjilid-jilid.
Sebagai contoh katanya, Imam al-Ghazali yang terkenal dengan penulisan Tasawwuf melalui Ihya Ulumiddin. Ibnu Sina dalam ilmu perubatan dan tokoh-tokoh lain yang memberi sumbangan dalam pelbagai disiplin ilmu.
Beliau menjelaskan Imam al-Ghazali membahagikan ilmu kepada dua, iaitu ilmu fardu ain mencakupi ilmu agama yang diperlukan untuk kesempurnaan akidah, ibadah dan akhlak manakala fardu kifayah memberi manfaat kepada manusia seperti perubatan, kejuruteraan, matematik, pertanian, penternakan dan lain-lain.
Katanya lagi, fenomena yang mendepani cabaran kehidupan hari ini, segelintir kalangan anak muda yang kurang minat menuntut ilmu. Ini menyebabkan kerugian kepada mereka kerana ilmu fardu kifayah antara jaminan membantu memperoleh pekerjaan dan keselesaan dalam kehidupan manakala fardu Ain untuk mendapatkan rahmat Allah serta jaminan tempat sempurna di akhirat nanti.
Ujarnya, generasi hari ini yang mendepani pelbagai cabaran wajar menuntut ilmu dari al-Quran dengan penuh kesungguhan dan kesabaran dalam mendapatkannya.
Oleh itu, banyakkan belajar dan bertanya dengan ilmuan dan ulama untuk menambah dan memantapkan ilmu, seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Sayidina Ibnu Abbas RA ketika ditanya: ‘Dengan apa kamu capai ilmu ini?’ Lalu beliau menjawab: ‘Dengan lidah yang banyak bertanya dan dari hati yang benar-benar berakal.’ – UTUSAN









