Melaka lancar lafaz taklik tulisan Braille

Melaka lancar lafaz taklik tulisan Braille

MOHD. ALI Mohd. Rustam menurunkan tandatangan ketika melancarkan ‘Buku Tatacara dan Panduan Pengurusan Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam Negeri Melaka’ serta ‘Lafaz Taklik Dalam Braille’ di Masjid Al-Hakeem, Kampung Tehel, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) memperkenalkan lafaz taklik tulisan Braille bagi memudahkan urusan pernikahan golongan kurang upaya (OKU) penglihatan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, ia adalah yang pertama di Malaysia bagi membantu pengantin lelaki OKU penglihatan membaca lafaz itu sewaktu kadi menikahkan pasangan.

Beliau berkata, buku itu didatangkan dengan dua versi iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang hanya boleh diperoleh di Melaka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya ingin ucapkan tahniah kepada JAIM yang telah berusaha dalam memastikan kelestarian golongan OKU penglihatan ini juga diambil kira bagi memudahkan tatacara mereka memahami lafaz taklik, rujuk dan talak.

“Inisiatif ini membuktikan bahawa kerajaan negeri sentiasa prihatin dan inklusif dalam memastikan kebajikan semua lapisan masyarakat terbela.

“Diharapkan sambutan Maal Hijrah kali ini dapat mengeratkan ukhuwah, membawa keberkatan dan memperkukuh semangat Madani dalam kalangan rakyat Melaka,” katanya selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri 1447H/2025M bertemakan ‘Membangun Ummah Madani’ di Masjid Al-Hakeem, Kampung Tehel di sini, malam tadi.

Majlis disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam yang turut melancarkan ‘Buku Tatacara dan Panduan Pengurusan Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam Negeri Melaka’ serta ‘Lafaz Taklik Dalam Braille’.

Ab. Rauf berkata, kedua-dua buku itu menjadi rujukan kepada pendaftar, para pegawai dan jurunikah dalam pengurusan pernikahan, perceraian dan rujuk.

Sementara itu, katanya, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM86,000 kepada 12 penerima Tokoh Maal Hijrah bagi menghargai sumbangan mereka dalam memperkasa pembangunan Islam di Melaka.

Katanya, penerima Anugerah Abu Bakar As-Siddiq menerima pakej umrah bernilai RM10,000 dan wang tunai RM10,000 manakala 11 tokoh lain masing-masing menerima Pakej Kembara Ilmiah bernilai RM3,000 serta wang tunai RM3,000.

Ketua Pegawai Eksekutif TRX City, Datuk Azmar Talib, 65, dinobatkan penerima Anugerah Abu Bakar As-Siddiq iaitu Tokoh Maal Hijrah 1447H Peringkat Negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini