Marquez cemas sebelum juarai GP Itali

Marquez cemas sebelum juarai GP Itali

PELUMBA Ducati, Marc Marquez bersama trofi kemenangannya selepas memenangi Grand Prix Itali di Mugello, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUGELLO: Pelumba Ducati, Marc Marquez mengakui bahawa dia bernafas lebih daripada biasa ketika perebutan awal kedudukan pendahulu di Grand Prix (GP) Itali berikutan teringat kemalangannya di Jerez dalam situasi yang hampir sama.

Marquez berjaya menukar petak utama kepada kemenangan ke-93 dalam kariernya di Mugello, semalam, sekali gus melebarkan jurang pendahulu kejuaraannya kepada 40 mata.

Dia terlibat dalam pertarungan awal dengan rakan sepasukan, Francesco Bagnaia dan pelumba Gresini, Alex Marquez dalam tujuh pusingan pertama perlumbaan, sebelum akhirnya mendahului pada pusingan kesembilan.

Marquez berkata, pada pusingan awal dia perlu mengingatkan dirinya agar tidak menolak terlalu kuat seperti yang dilakukannya di GP Sepanyol, selepas pelumba berusia 32 tahun itu terjatuh semasa sedang bersaing untuk kemenangan.

“Saya bernafas lebih daripada biasa kerana di Jerez saya sudah terjatuh pada pusingan kedua atau ketiga. Jadi hari ini (semalam) saya hanya mengulang dalam fikiran saya bahawa ‘perlumbaan ini sangat panjang’.

“Saya cuba kekal dalam pertarungan kerana sasaran saya adalah untuk mendahului perlumbaan, tetapi pada masa yang sama saya cuba menguruskan tayar.

“Saya nampak Pecco banyak menekan tayar dan kemudian saya kata ‘Ok, kita tengok apa yang saya boleh buat’ tetapi kemudian saya nampak Alex memotong kami, jadi saya sudah faham bahawa Alex mempunyai kelajuan yang berbeza.

“Kemudian saya mengekori di belakangnya dan hanya menunggu bahagian pertengahan perlumbaan apabila saya mula rasa lebih baik. Maksudnya, saya hanya cuba kekal dalam catatan masa 1 minit 47 saat (s) rendah, kadang-kadang 1.46 saat tetapi itu terlalu berisiko.

“Namun, saya nampak jurang semakin meningkat dan kemudian saya cuba mengawal keadaan. Apabila saya dapat jarak 1.5 dan 2 saat, saya hanya kawal perlumbaan,” katanya.

Kemenangan GP Itali itu merupakan kejuaraan pertama Marquez di Mugello sejak 2014. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN