Malaysia, UK bincang isu pengurusan risiko bencana

Malaysia, UK bincang isu pengurusan risiko bencana

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memulakan lawatan kerja ke United Kingdom (UK) bermula hari ini sehingga 4 Jun dalam usaha memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua buah negara.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK, Datuk Zakri Jaafar berkata, ia susulan daripada lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Januari lalu serta lawatan dilakukan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, April lalu.

ZAKRI JAAFAR ditemui di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, UK.

“Lawatan ini semestinya akan mengukuhkan lagi jalinan dua hala antara kedua-dua negara yang melibatkan pelbagai bidang sekali gus menunjukkan betapa akrabnya hubungan Malaysia dan UK,” katanya ketika ditemui di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini.

Tambah Zakri, lawatan Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu turut disertai delegasi terdiri daripada pegawai kanan kementerian itu, Kementerian Luar dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

“Pada 2 Jun, Timbalan Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan Bersama Menteri Alam Sekitar, Makanan dan Luar Bandar UK, Steve Reed.

“Semasa pertemuan di antara kedua-dua pemimpin di White Hall itu, perbincangan juga akan menjurus kepada isu berhubung pengurusan risiko bencana. Ini selaras dengan peranan Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat,” katanya.

Ahmad Zahid seterusnya akan menyampaikan ucapan umum di Forum Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di University College London (UCL).

“Ucapan bertajuk ‘Malaysia’s TVET Leadership in ASEAN: Building Skills for a Shared Future’ itu dijangka dihadiri wakil negara ASEAN, pelajar dan ahli akademik dan pengurusan tertinggi universiti.

“Seterusnya, Timbalan Perdana Menteri akan menjadi hos kepada majlis ramah mesra bersama pelajar-pelajar Malaysia,” katanya.

Pada 3 Jun pula, Ahmad Zahid akan mengadakan mesyuarat bersama pemain industri francais dan agensi pelancongan UK.

“Beliau kemudian akan melancarkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 untuk pasaran UK dan Eropah yang mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di Asia,” katanya.

Katanya, pada lawatan ini, Timbalan Perdana Menteri juga mempamerkan komitmen Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini.

“Beliau akan memaklumkan kejayaan dan hasil memberangsangkan yang dicapai semasa Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 di Kuala Lumpur baru-baru ini,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri kemudian akan ke Geneva, Switzerland dari London pada 4 Jun.

Di sana, Ahmad Zahid akan menyampaikan ucapan menteri pada Global Platform for Disaster Risk Reduction (GPDRR) yang dianjurkan Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pengurangan Risiko Bencana (UNDRR). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN