KENAPA pulau di Filipina? Itu antara kemusykilan saya apabila pelakon, Ben Amir, 35, memilih Siargao sebagai tempat tinggalnya sekarang. Semestinya banyak sebab kenapa pemilik nama penuh Muhammad Amir Sabaruddin memilih menetap di sana.
Namun, awal lagi pelakon filem Gantung: Musketeer Code ini menegaskan penghijrahannya bukan kerana hatinya dicuri perempuan Siargao. Tapi, kenapa bukan pulau di Malaysia, Indonesia atau pun Thailand? Ben, jawablah!
Ramai juga musykil tentang pilihan Ben menetap di Siargao. Kalau bukan kerana wanita, apakah sebabnya?
Saya ini sering melancong, banyak tempat yang telah saya kunjungi. Kalau ke pulau, memang tujuan saya untuk bercuti sahaja. Tapi, Siargao ini pada saya, berbeza.
Saya rasa terpanggil untuk tinggal di sini. Saya dapat rasakan hidup saya lebih tenang di pulau ini.
Apa perubahan yang Ben alami selepas berhijrah ke pulau ini?
Tentunya hidup kita akan jadi lebih aman bila kita tinggal di pulau. Jauh daripada kesibukan kota. Tidak ada kesesakan trafik, pencemaran bunyi mahupun tekanan.Tambah lagi kawasan semula jadinya terpelihara. Setiap pagi, saya bangun dengan hati yang gembira.
Apa yang orang lain rasa ketika bercuti, itulah yang saya rasa. Bezanya, pengalaman itu saya jalani setiap hari di sini.Alhamdulillah, saya sudah jumpa tempat saya. Saya tahu, ramai yang impikan apa yang saya lalui di Siargao.
Bila sudah seronok tinggal di sana, adakah Ben akan tukar kewarganegaraan kalau berpeluang?
Saya tidak pernah terfikir untuk tukar status kewarganegaraan saya. Malaysia tetap di hati saya.
Tapi saya bercadang untuk tinggal lama di Siargao untuk menjalani kehidupan yang lebih bermakna. Kiranya, ia sebahagian daripada perancangan persaraan saya.
Bagaimana pula dengan karier lakonan?
Saya tak akan tinggalkan. Cuma fokus saya lepas ini lebih kepada tawaran berlakon filem. Mungkin dalam satu tahun saya akan habiskan dua, tiga bulan untuk dua hingga tiga filem.
Selebihnya saya akan berada di Siargao untuk uruskan dan kembangkan perniagaan.
Perniagaan apa yang Ben rancang di sana?
Saya mahu buka kedai makan. Ramai orang tempatan dan pelancong beragama Islam mengeluh susah dapat makanan halal di sana dan hanya makan ikan serta sayuran setiap hari.
Saya nampak itu sebagai prospek perniagaan untuk buka restoran halal. Tambah pula komuniti Islam ramai di sana.
Dengar cerita Ben juga sedang siapkan rumah di sana? Apa perkembangannya?
Lagi dua minggu siap. Buat rumah di pulau bukan senang, agak mencabar. Sebab itu, saya bina rumah satu tingkat sederhana sahaja.
Banyak perkara perlu difikirkan. Material perlu diangkut menaiki feri dari tanah besar. Adakalanya proses pembinaan tergendala atas faktor cuaca. Jadi, pembinaannya ambil masa. Lepas rumah siap, saya cadang hendak buat restoran pula.
Jadi, jelaslah perpindahan Ben bukan kerana wanita Filipina?
Bukan. Memang berkawan dengan orang sana, tapi dia bukan sebab saya berpindah. Kami sudah dua tahun kenal dan sekepala. Dia juga macam saya, suka melancong.
Tapi saya tidak tergesa-gesa untuk kahwin. Kita tak boleh jangka bila jodoh kita sampai. Sebagai lelaki, memang saya mahu berumah tangga. Tapi tak adalah hendak cepat kahwin.