Nafas agih dividen RM21 juta, tertinggi sejak 1972 - Utusan Malaysia

Nafas agih dividen RM21 juta, tertinggi sejak 1972

MOHAMAD Sabu menyerahkan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim pada Majlis Penyerahan Dividen PPN dan Iftar Nafas 2026 di Dewan Utama Nafas, Petaling Jaya, Selangor. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 14 Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) menerima agihan dividen berjumlah RM21,002,941 daripada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) bagi tahun kewangan 2024.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia adalah jumlah tertinggi sejak penubuhan organisasi itu pada 1972.

Menurutnya, agihan memberi manfaat kepada rangkaian 212 Pertubuhan Peladang di seluruh negara serta lebih 400,000 ahli peladang.

“Pembayaran dividen itu turut mencerminkan pemulihan prestasi kewangan Nafas selepas melalui beberapa tempoh mencabar sebelum ini.

“Pencapaian tersebut adalah hasil pelaksanaan Pelan Reformasi Nafas 2.0 yang dilaksanakan bagi memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan kecekapan operasi organisasi berkenaan.

“Pelaksanaan pelan reformasi ini berjaya memulihkan kedudukan kewangan Nafas, sekali gus membolehkan agihan keuntungan kepada pelabur dilaksanakan semula,” katanya dalam sidang akhbar Program Penyerahan Dividen PPN dan Majlis Iftar Nafas 2026 di Dewan Utama Nafas di sini hari ini.

Sebelum ini, Nafas mencatatkan keuntungan sebanyak RM221 juta bagi tahun kewangan 2024.

Mohamad berkata, agihan dividen dipercepatkan melalui perintah khas yang diperuntukkan kepada menteri bagi memastikan kebajikan ahli peladang terus terpelihara.

Katanya, melalui perintah khas itu agihan keuntungan ini dapat dilaksanakan lebih awal menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Keputusan ini dibuat kerana obligasi sosial terhadap lebih 400,000 anggota peladang tidak wajar terjejas akibat penggantungan yang berlaku sebelum ini.

“Demi kebajikan ahli peladang saya akan menggunakan kuasa yang ada untuk menjaga kebajikan ahli peladang,” katanya.

Program tersebut turut diserikan dengan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim sebagai sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial korporat sempena Ramadan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN