JPJ dicabar sifar kemalangan musim perayaan - Utusan Malaysia

JPJ dicabar sifar kemalangan musim perayaan

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dicabar untuk terus menurunkan kadar kemalangan pada tahun ini, malah menyasarkan sifar kemalangan maut di jalan raya ketika musim perayaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Op Selamat tahun lalu mencatatkan penurunan jumlah kemalangan berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, rondaan serta penguatkuasaan akan digandakan oleh JPJ di titik panas (hotspot) bagi memastikan pengguna jalan raya lebih berhemah sepanjang perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata, langkah itu termasuk penambahan kenderaan rondaan dan kehadiran penguat kuasa bagi memberi persepsi bahawa pengguna sentiasa dipantau.

“Kita mahu mengurangkan kadar kemalangan ke tahap paling minimum, kalau boleh tiada kemalangan maut langsung sepanjang musim perayaan.

“Semua pengguna jalan raya pulang ke kampung dengan satu tujuan, iaitu bertemu keluarga dan menyambut Syawal dalam suasana gembira.

“Pendekatan ini diambil supaya pengguna jalan raya lebih berhati-hati dan mematuhi peraturan sepanjang musim perayaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Bersama Menteri Pengangkutan di sini hari ini.

Katanya, tragedi kemalangan yang meragut nyawa bukan sahaja merosakkan kegembiraan Aidilfitri, malah meninggalkan kesedihan mendalam kepada keluarga mangsa.

“Bayangkan jika sebuah keluarga ditimpa tragedi kehilangan orang tersayang ketika musim perayaan, sudah tentu ia menjadi detik yang amat menyedihkan.

“Sebab itu kita (JPJ) perlu melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya bagi membantu mengurangkan kadar kemalangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN