PETALING JAYA: Pemain perseorangan wanita negara, K. Letshanaa mara ke suku akhir selepas menewaskan Aakarshi Kashyap dari India pada peringkat 16 terbaik Kejohanan Badminton Terbuka Amerika Syarikat (AS), Iowa, hari ini.
Letshanaa yang menghuni ranking No. 50 dunia diheret sehingga ke rubber set sebelum menang ke atas pemain ke-49 dunia itu 21-17, 20-22, 21-13 dalam masa 1 jam 5 minit.
Pada suku akhir, esok, Letshanaa bakal berdepan pemain remaja India, Tanvi Sharma yang menghuni ranking ke-66 dunia.
Jika menang ke atas Sharma yang berusia 16 tahun, Letshanaa bakal melakar sejarah dalam kariernya menjejakkan kaki ke separuh akhir buat kali pertama pada Jelajah Dunia.
Bagaimanapun, dua lagi perseorangan negara, Wong Ling Ching dan Justin Hoh terkandas di pusingan kedua meninggalkan Letshanaa sebagai wakil tunggal Malaysia yang meneruskan kemaraan.
Ling Ching tewas straight set kepada Kaloyana Nalbantova dari Bulgaria 20-22, 12-21 dalam masa 37 minit.
Justin pula yang merupakan satu-satunya wakil negara dalam perseorangan lelaki tunduk kepada Liao Jhuo Fu dari Taiwan 15-21, 21-9, 17-21 dalam masa 59 minit. – UTUSAN