LOS ANGELES: Pemain golf wanita Australia, Minjee Lee membuktikan keampuhan mental apabila menjuarai Kejohanan PGA Wanita 2025 dengan penuh dramatik meskipun bermain di bawah tekanan cuaca dan saingan sengit.
Lee yang berusia 29 tahun bangkit mengatasi tiga bogey awal untuk menamatkan saingan dengan catatan keseluruhan empat bawah par 284, tiga pukulan di hadapan pencabar terdekat.
“Saya hanya beritahu diri sendiri untuk kekal pada pelan permainan. Sebetulnya ini lebih kepada pertarungan dengan diri sendiri, bukan lawan lain,” kata Lee.
Kejayaan ini menjadi gelaran utama ketiga buat Lee selepas meraih Evian Championship 2021 dan Terbuka Amerika Syarikat (AS) Wanita 2022.
Sementara itu, pemain muda AS, Auston Kim mengejutkan ramai apabila menduduki tangga kedua bersama Chanettee Wannasaen dari Thailand, masing-masing dengan satu bawah par 287.
“Saya hanya mahu berikan tekanan dan rapatkan jurang,” kata Kim.
Namun bagi Chanettee, eagle di lubang ke-15 menjadi titik kebangkitan, sekali gus melonjakkan dirinya ke podium naib juara buat kali pertama dalam kejohanan utama. – AGENSI