KUALA LUMPUR: Kutipan zakat melalui ejen di Wilayah Persekutuan menunjukkan peningkatan sebanyak 17.4 peratus tahun lalu dengan jumlah kutipan mencecah RM74.3 juta berbanding RM63.2 juta pada tahun sebelumnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pencapaian tersebut bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil kerjasama erat, sistem yang cekap serta komitmen tinggi dalam kalangan ejen kutipan zakat dilantik Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua ejen atas pencapaian yang amat membanggakan ini.
“Ini bukan sahaja mencerminkan komitmen setiap ejen, bahkan membuktikan bahawa kehadiran PPZ-MAIWP menerusi saluran ejen semakin diyakini oleh para pembayar zakat,” katanya.
Mohd Na’im berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Ejen Kutipan Zakat PPZ-MAIWP 2024 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, peranan ejen bukan sekadar mengutip zakat semata-mata, sebaliknya memikul amanah besar terhadap organisasi dan masyarakat.
Katanya, dana zakat adalah hak milik asnaf yang wajib diuruskan secara telus, berdisiplin dan berintegriti, manakala pematuhan terhadap garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) PPZ-MAIWP adalah suatu kewajipan.
“Setiap proses bermula daripada kutipan, pelaporan hinggalah penyimpanan rekod mestilah dilaksanakan secara kemas, sistematik dan sentiasa sedia untuk diaudit.
“Di sinilah pentingnya integriti,” katanya.
Dalam pada itu, Na’im turut memaklumkan bahawa PPZ-MAIWP kini turut dipertanggungjawabkan dalam pengurusan kutipan wakaf di Wilayah Persekutuan.
Menurutnya, kerjasama lebih ramai ejen untuk tampil menawarkan perkhidmatan kutipan wakaf tunai sangat diperlukan sebagai satu lagi saluran ibadah yang besar ganjarannya.
“Saya difahamkan, beberapa ejen telah pun menaik taraf fungsi mereka sebagai ejen kutipan wakaf dan ini adalah satu perkembangan yang amat membanggakan. Saya harap lebih ramai akan menyahut seruan ini,” katanya.
Pada majlis berkenaan, PPZ-MAIWP turut menyampaikan anugerah kepada 16 ejen kutipan yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun lalu, antaranya Anugerah Kaunter Universiti Terbaik, Anugerah Saluran Offline Terbaik dan Anugerah Saluran Potongan Gaji Terbaik. – UTUSAN