LANGKAWI: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus memantau pelajar Malaysia yang masih berada di Iran susulan keadaan yang semakin meruncing di negara itu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, setakat ini tujuh pelajar Malaysia dikenal pasti melanjutkan pengajian di Iran.
“Setakat apa yang kita dapati waktu saya berada di Iran beberapa minggu yang lalu, pelajar Malaysia rasanya ada tujuh orang yang berada di sana.
“Walaupun mereka tidak berdaftar dengan kita, namun sebagai rakyat Malaysia kita perlu prihatin keberadaan mereka jadi yang itu kita akan pantau sebab ada yang tidak daftar kerana mereka pergi sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Sidang Meja Bulat Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN sempena Kepengerusian ASEAN di sini, hari ini.
Katanya, KPT akan terus bekerjasama dengan Kementerian Luar yang menyalurkan maklumat semasa tentang perkembangan rakyat Malaysia di Iran.
Kelmarin, Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, memaklumkan sedang memantau rapi perkembangan keselamatan di Iran.
Usaha itu dipertingkatkan susulan tindakan agresif rejim Israel terhadap Iran pada 13 Jun lalu yang telah memburukkan lagi ketegangan secara ketara di rantau tersebut.
Semua rakyat Malaysia yang berada di Iran dinasihat meninggalkan negara itu serta-merta melalui apa jua kaedah selamat dan tersedia memandangkan situasi semasa yang tidak menentu dan berpotensi menjadi lebih buruk tanpa sebarang amaran awal.