KUALA LUMPUR: Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (Koperasi Tentera) akan melancarkan pembiayaan digital patuh syariah, Raees bagi meningkatkan pulangan dan kebajikan ahli-ahlinya.
Raees akan diperkenalkan secara berperingkat kepada kakitangan kerajaan dan orang awam, selain bakal menembusi pasaran luar.
Pengerusi Koperasi Tentera, Leftenan Jeneral Datuk Zaidan Atan berkata, pengenalan produk tersebut dijangka memberikan nilai tambah yang signifikan kepada pendapatan koperasi dan kesejahteraan ahli-ahli melalui agihan dividen.
“Inisiatif ini bertujuan memudahkan akses anggota kepada kemudahan pembiayaan dengan lebih cepat, mudah dan mesra pengguna, selaras dengan komitmen Koperasi Tentera dalam memperkasakan perkhidmatan digital kepada anggota,” katanya di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Tentera ke-59, di sini.
Majlis perasmian disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Turut hadir, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Zaidan berkata, Koperasi telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM11.66 juta di bawah skim pembiayaan peribadi Elham dalam tempoh sebulan selepas dilancarkan Mac lalu.
Beliau berkata, pencapaian itu bukti penerimaan amat menggalakkan daripada ahli-ahli Koperasi berjumlah hampir 160,000 orang.
“Elham menawarkan pembiayaan antara RM100,000 sehingga RM400,000 dengan kadar keuntungan kompetitif serendah 4.3 peratus serta tempoh bayaran balik sehingga 120 bulan dan tanpa penjamin,” katanya.
Beliau berkata, Koperasi Tentera bukan hanya berperanan sebagai institusi kewangan yang memberikan perkhidmatan pembiayaan, malah menawarkan kemudahan simpanan selamat dan menguntungkan.
“Melalui produk Simpanan Ikhlas XTRA, anggota berpeluang menikmati hibah tahunan sebanyak 2.75 peratus.
“Menariknya, pulangan adalah tetap dan tidak terkesan dengan perubahan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sekali gus memberikan ketenangan serta kestabilan kepada para penyimpan.
“Produk ini bukan sahaja menyediakan alternatif simpanan yang selamat dan berpatutan, malah menggalakkan budaya menyimpan dalam kalangan anggota demi kesejahteraan kewangan jangka panjang,” katanya. – UTUSAN