PETALING JAYA: Sebanyak 16,000 beg sumbangan Hari Raya Aidilfitri siap untuk diagihkan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan bertugas di perbatasan semasa sambutan perayaan itu.
Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan Markas Angkatan Tentera Malaysia dalam satu kenyataan berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan Bahagian Perkhidmatan Anggota (BPA), Seksyen Kebajikan ATM dengan kerjasama Badan Kebajikan Angkatan Tentera (Bakat) ATM yang berjaya menyiapkan keseluruhan pembungkusan sejak sebulan lalu.
Katanya, acara pembungkusan berlangsung di Dewan Mulia, Rumah Bakat ATM, Kem Kementah dan diketuai Pengerusi Jemaah Tertinggi Bakat ATM, Datin Siti Juana Md Ibrahim, isteri kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman.
“Kira-kira 50 ahli Bakat daripada ketiga-tiga perkhidmatan terlibat dalam menjayakan program berkenaan.
“Sebanyak 400 beg terakhir disempurnakan dalam satu acara khas hari ini sebagai simbol solidariti dan penghargaan kepada anggota yang terpaksa berjauhan daripada keluarga demi mempertahankan kedaulatan negara,” katanya hari ini.
Majlis penyerahan rasmi dijadualkan berlangsung pada 10 Mac ini dengan disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai tanda sokongan kepimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan terhadap kebajikan warga ATM.
Menurutnya, sesemua beg sumbangan itu kemudiannya akan diserahkan kepada Markas Formasi Perkhidmatan sebelum diagihkan kepada anggota yang bertugas pada hari raya pertama.
“Penganjuran program ini selari dengan Tonggak Ke-5 dalam Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera ke-24 iaitu “Cakna Anggota, Keluarga dan Veteran ATM, Berpisah Tiada” yang menekankan kesejahteraan serta moral anggota dan keluarga sebagai elemen penting kekuatan ketenteraan,” ujarnya. – UTUSAN










