Jepun halang Speedy Tigers ke separuh akhir

Jepun halang Speedy Tigers ke separuh akhir

Pemain Malaysia kecewa selepas gagal mara ke separuh akhir Piala Negara-Negara 2025 walaupun berjaya menewaskan Jepun 2-1 dalam aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini. UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Impian skuad hoki negara untuk menempah tiket ke peringkat separuh akhir Liga Negara-Negara tidak kesampaian walaupun mereka menewaskan Jepun 2-1 dalam aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Malaysia menamatkan kempen peringkat kumpulan di tempat ketiga berkongsi empat mata dengan Pakistan namun dipisahkan dengan perbezaan gol. Itu bermakna Pakistan mengiringi New Zealand ke peringkat separuh akhir kejohanan.

Selepas ini Speedy Tigers dijadual menentang Afrika Selatan pada Jumaat ini dalam aksi klasifikasi lima hingga lapan.

Dalam aksi tersebut Malaysia tidak menunggu lama untuk menembusi gawang Jepun menerusi gol padang Norsyafiq Sumantri seawal minit kelima berpunca daripada gerakan solo Fitri Saari.

Speedy Tigers menggandakan jaringan mereka apabila penyerang negara, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal menjaringkan gol padang minit ke-26 selepas menerima hantaran daripada Shello Silverius.

Memasuki suku ketiga Jepun menggandakan asakan malah mereka turut diberi empat pukulan sudut penalti namun tiada satu pun berjaya menembusi pintu gol tuan rumah.

Bagaimanapun, usaha Jepun membuahkan hasil apabila Koji Yamasaki menjaringkan gol tunggal pasukannya pada minit ke-56.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi Kumpulan B menyaksikan juara bertahan, New Zealand mara ke separuh akhir selepas menewaskan Pakistan 4-3.

New Zealand terlebih dahulu berada di depan pada minit ketujuh menerusi jaringan Nic Woods sebelum Pakistan meledak dua gol hasil jaringan Abdul Rehman masing-masing pada minit ke-13 dan ke-14. Gol ketiga Pakistan hadir pada minit ke-28 hasil percubaan Abdul Waheed Ashraf Rana.

Scott Cosslett muncul wira New Zealand apabila meledak tiga gol masing-masing pada minit ke-43, ke-45 dan ke-52. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN