Jawatan tetap warga Kemas tidak beban kerajaan

Jawatan tetap warga Kemas tidak beban kerajaan

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Tuntutan warga kerja Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) untuk dilantik ke jawatan tetap adalah wajar dan tidak melibatkan peningkatan kos yang besar terhadap kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelantikan secara tetap itu selaras dengan sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang kini tidak lagi menawarkan skim berpencen sebaliknya menggunakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Katanya, hampir keseluruhan pegawai dan kakitangan Kemas ketika ini berstatus kontrak justeru pelantikan tetap tanpa pencen adalah langkah terbaik dalam menjaga kebajikan mereka secara menyeluruh.

“Apa yang dituntut oleh mereka ialah supaya jawatan tetap diwujudkan walaupun tidak berpencen. Permintaan ini adalah sangat munasabah kerana ia tidak melibatkan peningkatan peruntukan bajet yang besar.

“Dengan sistem baharu ini, kerajaan tetap akan membuat potongan dan caruman KWSP kepada mereka seperti penjawat awam lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Hari Pendidik Kemas Peringkat Kebangsaan 2025 di Dewan Besar, Institut Kemajuan Desa (INFRA) di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pegawai Kemas berhak mendapat pengiktirafan yang setimpal berdasarkan kelayakan dan pengalaman mereka dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Katanya, kebanyakan daripada mereka telah lama berkhidmat dan memiliki kelulusan akademik jauh melebihi syarat minimum namun masih menerima skim gaji dan jawatan yang tidak setara dengan kelayakan dimiliki.

“Dahulu, syarat pengambilan kakitangan Kemas hanya memerlukan kelulusan SPM. Tetapi sekarang, kebanyakan daripada mereka memiliki diploma malah ada yang sampai ke peringkat PhD.

“Sudah tiba masanya usaha dan pengorbanan warga kerja Kemas dihargai melalui pelantikan jawatan tetap yang mampu menjamin masa depan mereka sebagai tenaga pengajar yang menjadi tunjang kepada pendidikan awal negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN