Ilmu asas kehidupan Muslim

Ilmu asas kehidupan Muslim

ALIAS DOLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ILMU agama bukan sekadar tambahan dalam kehidupan, tetapi asas yang menentukan arah tuju seorang Muslim di dunia dan di akhirat.

Dalam era moden yang penuh cabaran ini, menuntut ilmu agama bukan lagi pilihan, malah satu kewajipan yang tidak boleh diabaikan. Tanpanya, manusia akan mudah terjebak dalam kekeliruan, kejahilan, dan akhirnya jauh dari rahmat Allah SWT.

Berkongsi pandangan dengan Mingguan Malaysia, Pendakwah bebas, Ustaz Alias Haji Dollah berkata, Islam meletakkan ilmu di tempat tinggi yang perlu ditimba dan dipelajari.

Menurutnya, Rasulullah SAW sendiri memulakan wahyu dengan kalimah iqra (baca), tuntut ilmu dan fahami hakikat.

“Ilmu agama membimbing manusia mengenal Allah SWT, memahami syariat-Nya, dan melaksanakan perintah-Nya dengan penuh keyakinan. Tanpa ilmu, seseorang akan mudah terikut-ikut budaya dan ideologi yang menyesatkan,” katanya ketika ditemui di Masjid Nurul Anwar Mukim Dalam Rhu, Pasir Puteh, Kelantan baru-baru ini.

Firman Allah dalam Surah al-Mujadalah ayat 11:

“Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.”

Alias berkata, ayat ini menjadi bukti betapa mulianya kedudukan orang yang berilmu di sisi Allah SWT mencakupi orang yang berusaha mengenal Allah SWT dan meneladani Rasulullah SAW.

“Ilmu agama membawa manusia mengenal penciptanya. Tanpa ilmu, bagaimana mungkin kita menyembah Allah SWT dengan sebenar-benarnya? Sebagaimana ditegaskan Imam al-Ghazali:

“Ibadah tanpa ilmu adalah sia-sia.”

“Maka, untuk mengenal Allah, kita perlu menelusuri kehidupan Rasulullah SAW-insan agung yang diutus untuk membimbing umat manusia ke jalan yang benar. Sirah Baginda bukan sekadar catatan sejarah, tetapi pedoman kehidupan yang perlu diikuti,” katanya.

USTAZ ALIAS DOLLAH
Usia: 58 tahun
Asal: Kampung Parit Air, Rantau Panjang, Kelantan

Sejarah Pendidikan:
 Sekolah Menengah Ugama (Arab) Tarbiyah Diniah, Rantau Panjang
 Maahad Muhammadi Pasir Mas
 Maktab Perguruan Ipoh Perak
 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
 Pondok Seligi Pasir Puteh, Kelantan
 Berguru dengan Babo Tok Ayah Barat, Tok Guru Poksu Hamid Bator, Syeikh Nuruddin al-Banjari dan lain-lain.

Tugas hakiki:
Guru Pendidikan Islam SMK Machang, Kelantan.

Tugas lain:
Penceramah agama bertauliah
Ahli Panel Forum Islam Kelantan Fm
Penulis buku Pendidikan Islam Intiyyaz

 

Alias berkata, menelusuri sirah Nabi SAW membentuk hati yang teguh, akidah yang mantap, dan akhlak yang luhur.

Katanya, ia memberi inspirasi bagaimana seorang Muslim perlu menghadapi ujian hidup, menegakkan kebenaran, dan berpegang kepada prinsip Islam dalam apa jua keadaan.

“Lihatlah bagaimana Baginda berdakwah di Mekah dengan penuh hikmah walau dihina, dicerca dan diancam. Keteguhan Baginda berpaksikan ilmu dan keyakinan kepada janji Allah SWT.

“Tanpa ilmu, hati menjadi gelap. Akal menjadi lemah. Hidup menjadi sesat,” katanya.

Justeru, katanya, masjid perlu dikembalikan sebagai pusat penyebaran ilmu. Kuliah-kuliah Maghrib, pengajian kitab, ceramah agama – semuanya adalah peluang untuk menambah kefahaman dan mendekatkan diri kepada Allah.

“Jangan biarkan masjid kosong tanpa pengisian ilmu. Jadikan ia universiti rohani bagi setiap peringkat umur. Hadirlah ke majlis ilmu yang lazimnya ada program ceramah dan kuliah antara Magrib dan Isyak,” katanya.

Menurut Alias, kejahilan adalah musuh utama umat kerana sebahagian besar kesesatan dan perpecahan umat berpunca daripada keengganan menuntut ilmu.

“Umat Islam tidak akan kuat tanpa ilmu. Umat tidak akan mulia tanpa kefahaman. Umat tidak akan selamat tanpa bimbingan sirah, sunnah dan wahyu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×