KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terus memperkukuh jaringan keselamatan sosial dengan meningkatkan insentif program i-Saraan, khusus untuk pekerja gig dan sektor tidak formal yang sebelum ini sering terpinggir daripada perlindungan persaraan.
Pengerusi KWSP, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, mulai tahun ini, sumbangan padanan kerajaan bagi program i-Saraan telah dinaikkan kepada 20 peratus dengan had maksimum RM500 setahun dan jumlah keseluruhan sumbangan sehingga RM5,000 sepanjang hayat.
Katanya, langkah itu dilihat sebagai pengiktirafan terhadap keperluan untuk menyesuaikan sistem persaraan dengan realiti baharu pekerjaan moden, terutama dalam kalangan pekerja bebas dan tidak bergaji tetap.
“Setakat tahun lalu, seramai 1.2 juta rakyat Malaysia telah mencarum secara sukarela melalui i-Saraan dan hampir 70 peratus daripada mereka terdiri daripada pekerja gig dan sektor tidak formal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2025 (ISWC 2025) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Zuki berkata, peningkatan penyertaan itu membuktikan inisiatif sedemikian penting dalam merapatkan jurang perlindungan sosial yang selama ini hanya memfokuskan kepada pekerjaan formal.
Menurutnya, KWSP kini sedang melakar hala tuju baharu sistem persaraan negara dengan memastikan tiada golongan tercicir, terutama mereka yang bekerja di luar sistem konvensional.
“Inisiatif i-Saraan mencerminkan komitmen KWSP terhadap penyelesaian yang lebih inklusif dan praktikal.
“Dengan perubahan landskap kerja hari ini, kita tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada model lama,” ujarnya.
Beliau berkata, pendekatan ini juga penting dalam usaha membina ketahanan kewangan dalam kalangan rakyat, khususnya apabila negara sedang berdepan dengan fenomena penuaan penduduk dan jangka hayat yang semakin panjang.
“Inisiatif i-Saraan bukan sahaja memberi peluang kepada pekerja gig untuk membina simpanan hari tua, malah menawarkan saluran sokongan kewangan berstruktur yang boleh mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan kelak.
“Kita mahu pekerja dalam sektor gig dan tidak formal merasa mereka juga layak untuk dilindungi dan dihargai.
“Mereka menyumbang kepada ekonomi negara, maka mereka juga berhak mendapat jaminan masa depan yang stabil,” katanya.
Pihaknya juga menyeru agar lebih banyak syarikat teknologi, penyedia platform digital dan majikan mengambil tanggungjawab untuk menyokong pekerja gig dengan menggalakkan penyertaan mereka dalam inisiatif i-Saraan secara lebih meluas.
Katanya, sokongan daripada pelbagai pihak termasuk sektor swasta amat penting untuk menjayakan agenda perlindungan sosial yang menyeluruh.
“KWSP akan terus memperkenalkan dasar dan inisiatif bersifat mesra rakyat, fleksibel dan mampan demi memastikan rakyat Malaysia bersedia menghadapi kehidupan yang lebih panjang dengan lebih bermaruah.
“Kita sedang membina sistem yang bukan sahaja relevan pada hari ini, tetapi juga bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan. Sistem persaraan negara mesti bergerak seiring dengan realiti ekonomi dan sosial rakyatnya,” katanya. – UTUSAN