MERSING: Isu hakisan di hutan paya laut di Kampung Tenglu Laut, dekat sini semakin membimbangkan.
Pegawai Daerah Mersing, Jamil Hasni Abdullah berkata, pemantauan menunjukkan bahawa keluasan hutan paya laut di pesisir itu menyusut secara ketara daripada tiga hektar pada tahun 2007 kepada hanya satu hektar ketika ini.
“Daerah Mersing, terutamanya kawasan hutan paya laut di Kampung Tenglu Laut, telah sekian lama menghadapi isu hakisan pantai yang semakin membimbangkan.
“Keadaan ini bertambah serius dengan kedudukan kawasan yang terdedah kepada tiupan angin Monsun Timur Laut. Pemantauan menunjukkan bahawa keluasan hutan paya laut di pesisir ini telah menyusut secara ketara,” katanya ketika merasmikan Projek Pemuliharaan Hutan Paya Laut Dipacu oleh Masyarakat Setempat di Kompleks Balai Raya Kampung Tenglu Laut, di sini hari inI.
Sementara itu, katanya, projek bagi tempoh 2025 hingga 2027 itu bertepatan sebagai langkah intervensi berasaskan alam semula jadi yang merangkumi dua strategi utama, iaitu pemasangan struktur buluh sebagai pemecah arus ombak dan pemulihan semula hutan paya laut.
Katanya, pendekatan tersebut bukan sahaja melindungi kawasan pesisir Kampung Tenglu Laut, malah memperkukuhkan fungsi ekosistem hutan paya laut sebagai benteng semula jadi terhadap bencana alam seperti ribut dan ombak besar serta hakisan pantai. – UTUSAN