Malam itu Sarip bersama tiga rakannya menyusup masuk secara sembunyi ke pekarangan rumah Wan Piah. ‘Kacang hantu’ seperti mereka memang sentiasa rancang dan buat perkara yang tidak baik, dan malam itu tujuan mereka tidak lain tidak bukan hanyalah ingin mengintai Wan Piah.
Kebetulan pula rumah Wan Piah berdinding kayu, jadi senanglah mereka untuk mencuri intai. Sarip tahu bukan dia dan kawan-kawannya sahaja pernah melakukan ‘projek’ sedemikian, malah ramai lagi pemuda lain berbuat demikian.
Mereka melangkah berhati-hati sambil bersembunyi di bawah rumah. Jantung berdegup kencang disamping menyimpan impian untuk melihat ‘janda bergetah’ tersebut dari sisi berlainan berbanding biasa. Jari jemari meraba-raba papan di sekitar dinding untuk mencari lubang yang lebih besar dan jelas.
“Perghhh, aku dah dapat angle baik ini,” kata Zamri perlahan.
Rakan-rakan lain mencebikkan bibir seakan tidak berpuas hati dengan penjelasannya.
Tiba-tiba Sarip mengangkat tangan memberi isyarat meminta rakannya senyap.
“Tuu… cuba tengok tu,” kata Sarip berbisik sambil memuncungkan bibirnya.
Daripada celah lubang dinding jelas kelihatan Wan Piah sedang melangkah menuju ke ruang tamu. Sarip dan rakan-rakannya ternganga kaget sebaik melihat sosok yang sedang berjalan itu. Cukup berbeza sama sekali dengan apa yang pernah mereka saksikan sebelum ini.
Beberapa kali mereka menggosok mata untuk memastikan apa yang dilihat ketika itu adalah realiti dan bukannya mimpi. Tetapi itulah hakikatnya. Sosok yang selama ini tampak menggiurkan kini hanyalah seorang wanita berusia yang langsung tidak terurus.
Muka Wan Piah nampak pucat dan langsung tidak berseri, kulitnya kendur dan berkedut. Bukan itu sahaja, rambutnya yang mengurai panjang itu juga sudah putih dipenuhi uban, sekali pandang memang menyeramkan.
Beberapa kali juga Wan Piah mundar-mandir keluar masuk ke biliknya. Sarip dan rakan-rakannya hanya memerhati dengan seribu persoalan tanpa menghiraukan kumpulan ekor nyamuk yang hinggap di tubuh mereka.
Hampir beberapa minit menunggu, kelihatan Wan Piah masuk ke bilik dan menutupnya. Apa lagi, Sarip dan rakan-rakannya terus bergegas mencari sudut yang jelas. Melilau mata mereka mencari lubang di sekitar dinding di situ.
“Okey beb, sini clear,” kata Zamri berbisik. Melalui satu lubang panjang dari papan yang sedikit renggang di dinding jelas kelihatan Wan Piah sedang baring di atas katil. Namun yang mengejutkan di sisinya terdapat seorang wanita tua berselendang kuning yang tidak dikenali.
Wanita tua itu dilihat memegang sebuah bekas bara yang masih berasap sambil mulutnya kumat-kamit membaca sesuatu yang tidak jelas didengar. Dia mundar- mandir membawa bekas bara itu mengelilingi tubuh Wan Piah yang sedang terbaring kaku.
Bau asap kemenyan menusuk hidung. Wanita tua tersebut kemudiannya mengambil sebekas air dan merenjiskan ke seluruh tubuh Wan Piah, setelah selesai dia mengangkat tangan seakan berdoa sambil menghentak kaki ke lantai.
Setelah itu dia memicit-micit serta mengurut di beberapa bahagian tubuh Wan Piah. Terdengar suara Wan Piah yang mengerang perlahan seolah menahan sakit. Dalam samar cahaya suram di bilik tersebut, tiba-tiba muncul kepulan asap kecil di sudut katil, dan ketika itulah tanpa diduga muncul satu lembaga seakan hantu pontianak yang cukup menyeramkan.
Sarip dan rakan-rakannya berpeluh sambil menggigil ketakutan. Degup jantung seakan terhenti gara-gara tidak percaya denga apa yang disaksikan ketika itu.
Wajah lembaga tersebut cukup menyeramkan. Rambutnya putih mengerbang panjang, wajahnya putih melepak, matanya terbuntang merah dan giginya berceracak tajam.
“Psttt.. jom kita balik. Aku dah tak sedap hati ini! Lain yang kita hendak tengok tapi lain pula yang kita dapat,” kata Seman perlahan.
Tanpa banyak soal mereka perlahan-lahan melangkah meninggalkan rumah Wan Piah, dan sebaik sampai di tepi jalan besar mereka semua mencicit lari lintang pukang.
Mereka berempat kemudiannya terus menuju ke Warung Haji Jais. Nasib baiklah warung tersebut belum tutup lagi kerana masih ramai pelanggan yang sedang rancak menonton perlawanan gusti yang dipasang ketika itu.
Mereka duduk diam tanpa sepatah kata. Masing-masing masih teringatkan apa yang berlaku sebentar tadi. Tak sangka lain yang dihajati, tetapi lain pula yang terjadi.
“Aku betul-betul tak percaya apa yang aku tengok tadi,” kata Zamri sambil mengeluarkan kotak rokok dari poket seluarnya.
Mereka semua mengangguk perlahan-lahan, bersetuju dengan apa yang diperkatakan Zamri.
“Rupa-rupanya wajah Wan Piah yang kita tengok cantik sebelum ini adalah wajah hantu sebenarnya,” sambungnya lagi.
“Entah-entah Wan Piah sudah lama mati agaknya,” sambung Sarip.
Mereka terdiam. Yang kedengaran hanyalah bunyi sorak dan riuh rendah dari beberapa meja berdekatan yang sedang asyik menonton gusti.
“Kalau kamu semua hendak tahu itulah susuk. Sebab itulah wajah Wan Piah sentiasa cantik walaupun hakikatnya dia sudah berusia dan berkedut.
“Aku tahu benda ini pun sebab pernah dengar mak aku cerita dulu. Sebab itu, nampak perempuan tua tu urut-urut dan picit anggota tubuh Wan Piah sebab dia sedang masukkan susuk itu pada badan dia,” jawab Seman panjang lebar.
Terlopong mulut mereka mendengar kata-kata Seman.
“Aku rasa Wan Piah buat macam itu sebab hendak tarik perhatian lelaki, ataupun dia ada motif lain,” kata Zamri sambil memicit-micit jarinya. – UTUSAN
BERSAMBUNG MINGGU hadapan










