Gara-gara susuk pemikat (Siri akhir)

Gara-gara susuk pemikat (Siri akhir)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sudah hampir seminggu Wan Piah meninggal dunia, namun sudah terdengar pelbagai cerita kurang enak yang berlegar dari mulut ke mulut. Walaupun tidak sahih dan sekadar khabar angin, tetapi ramai yang sudah ‘terkena’ kononnya terserempak jelmaan wanita cantik menyerupai Wan Piah.

“Aku pun tidak tahu cerita dia orang ini betul atau tipu. Sudah dekat 50 tahun aku tinggal di kampung ini, tak pernah lagi aku dengar ada orang mati jadi hantu.

“Tapi kalau hantunya macam Wan Piah, aku pun hendak jumpa! Manalah tahu boleh ajak dating nanti,” kata Wak Majid ketawa ketika sedang bersarapan di Warung Haji Jais.

Sarip dan rakan-rakannya yang berada di meja sebelah hanya tersengih kelat. Sengaja dia tidak mahu mencelah kerana ingin mendengar apa yang mereka bualkan. Ironinya, hanya mereka sahaja tahu rahsia sebenarnya.

Terbaharu, anak abang Deris, Tapa mengadu dengan Imam Saleh kononnya dia terserempak dengan sosok wanita menyerupai Wan Piah berhampiran pokok Ketapang di tepi jalan besar di tanah perkuburan. Tergamam Imam Saleh mendengarnya. Dia sendiri tidak tahu sama ada hendak percaya atau tidak cerita tersebut.

“Betul Pak Imam, takkanlah saya hendak menipu. Perempuan yang saya jumpa itu memang Wan Piah. Dia siap jeling dan senyum pada saya lagi. Seram betul!” Kata Tapa ketika bercerita dengannya.

Hampir saban hari ada sahaja cerita kurang enak tentang arwah Wan Piah sehingakan penduduk kampung tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku.
Jika dikenang semula semasa hayatnya tidak ada pula perkara pelik dilakukan arwah, tetapi sebaik sahaja dia meninggal dunia timbul pula pelbagai cerita pelik.

Hendak dijadikan cerita petang itu rumah Tok Ketua dikunjungi oleh dua lelaki yang tidak dikenali. Katanya, mereka tinggal di daerah berdekatan dan tujuan mereka datang adalah kerana Wan Piah.

Tok Ketua lantas memanggil Imam Saleh dan beberapa penduduk ke rumahnya untuk sama-sama mendengar apa yang ingin disampaikan oleh pemuda tersebut.

Sarip dan rakan-rakannya tidak lepaskan peluang turut serta. Dia sendiri mahu mendengar apa cerita sebenarnya, dan siapakah individu tersebut serta apa kaitannya dengan Wan Piah.

Setelah semua berkumpul di rumah tok ketua barulah pemuda tersebut membuka mulut. Sebelum itu dia berkali-kali meminta maaf jika terdapat salah faham atas apa yang ingin disampaikan.

Kami yang berada di situ kehairanan dan tertanya-tanya dalam hati.

Lelaki tersebut memperkenalkan dirinya sebagai Arif. Katanya, dialah yang bertanggungjawab membawa Wan Piah ke negara jiran untuk memasang susuk dengan seorang bomoh Siam.

Semua yang berada di situ terdiam sambil melopong. Sarip dan rakan-rakannya hanya berpandangan sesama sendiri. Nampaknya memang benarlah telahan mereka selama ini.

“Arwah pakai susuk ini sudah lama. Kalau tidak silap saya sebelum dia berumah tangga lagi.

“Memang tujuannya pakai susuk ini untuk kelihatan cantik, muda dan boleh memikat mana-mana lelaki yang dia inginkan.

“Wan Piah ini jiran saya ketika keluarganya menetap di kampung saya dekat sempadan. Dulu dia sering dipinggirkan oleh rakan-rakan sebayanya sebab dia tidak cantik dan tidak pandai bergaya.

Waktu itulah dia ada tanya saya jika kenal mana-mana bomoh yang boleh pasang susuk,” kata Arif perlahan.

Menurutnya lagi, pada malam Jumaat pertama setiap tiga bulan Wan Piah akan ke rumah bomoh tersebut untuk upacara ‘memasang’ susuk ditubuhnya. Dan perkara itu berlarutan sehingga arwah meninggal dunia.

Ceritanya lagi, arwah akan melakukan pemujaan sendiri di rumahnya pada setiap malam Jumaat untuk ‘mengekalkan’ kuasa susuknya, namun dia percaya Wan Piah jatuh sakit secara tiba-tiba kerana mungkin terlanggar pantang larang.

“Sebab itulah secara tiba-tiba Wan Piah terlantar sakit. Tetapi saya sendiri tidak tahu apa pantang larangnya sebab saya temankan Wan Piah hanya beberapa kali sahaja, selebihnya dia pergi sendiri.

“Dan bila saya dengar ada cerita yang kurang enak selepas Wan Piah meninggal dunia, saya tahu ada yang tidak kena, jadi kena diselesaikan perkara ini secepat mungkin sebelum jadi lebih mudarat.

“Jadi, saya minta jasa baik Tok Ketua dan semua yang ada di sini untuk tidak buka aib arwah sementara kita cari jalan penyelesaiannya,” sambung Arif lagi.

Semua yang ada di situ terdiam sambil berpandangan.

“Jadi, apa yang perlu kami buat sekarang? Saya pun tak nak juga kampung ini jadi kecoh dan huru hara sebabkan perkara-perkara macam ini,” kata Tok Ketua sambil mengurut janggutnya.

“Saya berharap sangat kalau ada sesiapa yang boleh tawarkan diri untuk ikut saya ke rumah bomoh Siam itu.

“Rasanya hanya bomoh itu saja yang boleh bantu dan pulihkan keadaan yang huru hara sekarang ini,” kata Arif menundukkan muka.

Tok Ketua dan Imam Saleh berpandangan sambil mengangguk perlahan. Nampaknya, mungkin hanya itu sahaja jalan terbaik yang ada untuk kembalikan keharmonian di kampung tersebut.

Tanpa diduga Tok Ketua lantas menjeling dan memberi isyarat ke arah Sarip dan kawan-kawannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN