MUNICH: Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique mengakui beliau dan kelab itu telah memenuhi sasaran tertinggi selepas kemenangan bergaya 5-0 ke atas Inter Milan pada final Liga Juara-Juara, semalam.
Sejak pengambilalihan kelab oleh pemilik dari Qatar pada tahun 2011, PSG memenangi 11 daripada 13 gelaran liga Perancis, namun trofi utama yang sentiasa diidamkan sering kali terlepas daripada genggaman.
Namun awal pagi semalam, PSG memusnahkan impian Inter di Allianz Arena dan akhirnya menamatkan penantian itu dengan penuh bergaya.
Enrique, yang pernah memenangi Liga Juara-Juara bersama Barcelona di Berlin pada 2015, berkata, beliau sudah menyasarkan gelaran itu sejak hari pertama menjadi ketua jurulatih PSG pada 2023.
“Pada hari pertama saya di PSG, bahasa Perancis saya jauh lebih teruk daripada sekarang. Tetapi saya katakan matlamat utama saya sebagai jurulatih adalah untuk memenuhi kabinet trofi.
“Satu-satunya trofi yang belum dimenangi adalah Liga Juara-Juara. Kini kami sudah pun memenanginya. Kami berani dan kami berjaya. Ia sudah berada dalam genggaman dan akan pulang bersama kami esok,” Enrique.
Pengurus itu turut memberi pujian khas kepada penyerang Ousmane Dembele, menyifatkannya sebagai “luar biasa” dan berkata, “dia layak memenangi Ballon d’Or.”
Enrique juga memberikan penghormatan kepada anak perempuannya, Xana yang meninggal dunia akibat kanser pada 2019 ketika berusia sembilan tahun.
Selepas tamat perlawanan, penyokong Perancis mengangkat sepanduk yang menggambarkan Enrique dan anaknya sedang menanam bendera PSG ke dalam tanah, simbolik kepada kenangan mereka menanam bendera Barcelona di Berlin 10 tahun lalu.
“Ia amat menyentuh hati. Terima kasih kerana penyokong memikirkan mengenai saya dan keluarga saya. Tetapi saya tidak perlukan kemenangan Liga Juara-Juara atau sebarang perlawanan untuk mengingati anak saya.
“Dia sentiasa bersama saya. Dia menyokong saya dan keluarga kami dan saya merasai kehadirannya,” katanya.
Kejayaan ini turut melakar sejarah baharu buat bola sepak Perancis apabila PSG menjadi kelab kedua dari negara itu memenangi Liga Juara-Juara selepas Olympique Marseille melakukannya pada tahun 1993.- AGENSI